Inkues Adib: Peguam Negara perlu dipecat!

- Advertisement -
SEJAK 17 Disember 2018, seluruh negara tertunggu-tunggu dapatan fakta tentang punca kematian Allayarham Muhammad Adib Mohd Kassim, seorang bekas anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia Subang Jaya, yang cedera parah sewaktu bertugas dalam satu rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafiled USJ 25, pada awal pagi 27 November 2018.
 
Dalam keadaan prosiding inkues yang telah berlangsung selama hampir 5 bulan sejak 18 Januari 2019, dan hampir mencapai garis penamat selepas Mahkamah Koroner telah mendengar keterangan dari 29 saksi selama 36 hari prosiding, negara dikejutkan dengan berita penarikan diri seorang Peguam yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta keluarga Allayarham Adib. Penarikan diri Peguam Syazlin Mansor tersebut turut menimbulkan misteri pembatalan sambungan keterangan tambahan oleh Pakar Forensik dan Patologi, Prof Dr Shahrum Abd Wahid, seorang saksi yang dijangkakan akan menjadi saksi terakhir prosiding tersebut.
 
Kenyataan Akhbar Setiausaha Politik Menteri KPKT, Nor Hizwan Ahmad bertarikh 28 Mei2019 telah menjelaskan bahawa Peguam Syazlin Mansor telah diarahkan menarik diri dari mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat serta KPKT dari prosiding inkues tersebut, selepas menerima surat dari Peguam Negara bertarikh 23 Mei2019.
 
Beberapa jam selepas itu, Jabatan Peguam Negara juga telah mengeluarkan Kenyataan Akhbar bagi menjelaskan ‘nasihat’ kepada KPKT dan Jabatan Bomba bagi menamatkan khidmat Peguam Syazlin Mansor, dengan menarik diri dari prosiding inkues.
 
Berdasarkan Kenyataan Media Jabatan Peguam Negara, dua alasan utama yang menjadi sandaran kepada ‘nasihat’ tersebut dikeluarkan ialah kerana kononnya “wujud konflik kepentingan” untuk Peguam Syazlin mewakili ketiga-tiga pihak (termasuk keluarga Adib), dan peranan aktif yang dimainkan oleh Peguam Syazlin dalam prosiding itu yang dikatakan seringkali mengambil pendirian yang bertentangan dengan ‘Pendakwaraya’, justeru telah mengakibatkan keaiban terhadap beliau atas kapasitinya selaku Peguam kepada Kementerian.
 
Dalam bahasa mudahnya, inkues adalah merupakan satu siasatan awam secara kehakiman (a judicial  inquiry) untuk menentukan sesuatu kejadian, atau dalam konteks Seksyen 337 Kanun Acara Jenayah, adalah untuk menentukan punca atau keadaan (bila, bagaimana, dimana dan cara kematian) kematian seseorang atau sama ada sesuatu kematian itu melibatkan unsur jenayah. Inkues adalah bersifat ‘inquisition’, iaitu siasatan awam terbuka untuk membolehkan Mahkamah Koroner membuat dapatan fakta (fact  finding) terhadap punca kematian dan keadaan kematian tersebut. Perlu diingat bahawa inkues bukanlah satu perbicaraan jenayah, bukan satu bentuk pendakwaan terhadap mana-mana pihak, justeru tiada apa-apa sabitan terhadap mana-mana pihak, bahkan tiada pihak yang akan menang atau kalah pada penghujung prosiding inkues.
 
Ia adalah padang yang terbuka untuk menjemput masyarakat awam yang mempunyai kaitan dan kepentingan langsung bagi mengemukakan bukti-bukti untuk dinilai oleh Koroner. Berdasarkan laporan media, KPKT dan Jabatan Bomba mempunyai kecenderungan untuk mempercayai teori bahawa kematian Adib adalah disebabkan kecederaan akibat dipukul oleh perusuh. Kepercayaan ini turut dikuatkan oleh Allayarham Adib sendiri sewaktu menjawab 11 dari 15 soalan yang dikemukakan kepadanya sewaktu dirawat di Institut Jantung Negara dengan mendakwa dirinya dipukul dengan peralatan dan ditarik dari van Unit Bantuan Perhidmatan Kecemasan (EMRS). Atas asas ini, sejak awal lagi KPKT dan Jabatan Bomba telah bertindak melantik Peguam sendiri, Syazlin Mansor untuk turut serta dalam inkues tersebut.
 
Perlantikan dan penyertaan Peguam Syazlin sedari awal prosiding inkues dimulakan, sejak 18 Januari 2019 tidak pernah dibantah oleh Peguam Negara, walau Peguam Negara mempunyai masa yang sangat luas untuk membantah, sebagaimana bantahan yang dilakukan terhadap Peguam-Peguam yang mewakili 50 penganut Hindu dan Jawatankuasa Kuil Sri Mariamman. Bantahan ini kekal walau selepas melibatkan prosiding rayuan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.
 
Atas asas ini sahaja, dan dengan sifat prosiding inkues yang terbuka untuk tujuan siasatan awam, dan bukannya bersifat satu perbicaraan jenayah yang matlamat akhirnya adalah kalah dan menang (sabitan jenayah), alasan kononnya “wujud konflik kepentingan” yang dikemukakan oleh Peguam Negara untuk menasihati ‘penarikan diri’ Peguam Syazlin pada saat akhir selepas Peguam Syazlin “memainkan peranan aktif” untuk menyokong teori kematian yang mungkin bertentangan dengan teori Jabatan Peguam Negara adalah suatu tindakan yang bersifat lepas fikir (afterthought). Alasan konflik kepentingan adalah sangat lemah kerana pastinya KPKT, Jabatan Bomba dan keluarga Adib tidak mempunyai apa-apa kepentingan yang bercanggah melainkan untuk sama-sama membantu Mahkamah Koroner membuat dapatan fakta yang betul selaras dengan kredibiliti dan bukti yang dikemukakan. Malang sekali seolah-olah Peguam Negara terlepas pandang perbezaan antara inkues dan perbicaraan jenayah.
 
Dalam keadaan prosiding yang bersifat siasatan terbuka untuk membuat dapatan fakta yang tepat, Jabatan Peguam Negara yang mengendalikan inkues melalui Pegawai Pengendali (conducting  officer) tidak sewajarnya tampil dengan kesimpulan awal tentang punca kematian Adib, serta cuba memaksa pendirian tersebut untuk diterima oleh KPKT dan Jabatan Bomba. Jika pun Peguam Negara mempunyai kesimpulan awal berdasarkan siasatan polis dan forensik bahawa Adib mengalami kecederaan akibat kemalangan (dan bukannya dipukul), Peguam Negara tidak sewajarnya menghalang pihak-pihak lain yang mempunyai teori berbeza untuk menguji teori itu di hadapan Mahkamah Koroner dengan mengemukakan bukti dan keterangan yang relevan dan sesuai. Ironinya, tindakan Peguam Negara yang ‘menasihati’ KPKT untuk mengarahkan Peguam Syazlin menarik diri kerana “peranan aktifnya” untuk menyokong teori kematian yang tidak konsisten dengan pendirian Peguam Negara, adalah bersifat satu langkah yang berupaya menghalang proses keadilan dilaksanakan dalam prosiding inkues.
 
Justeru alasan Peguam Negara kononnya “peranan aktif” Peguam Syazlin yang sentiasa mengambil pendirian yang bertentangan dengan Pegawai Pengendali inkues tentang teori kematian Adib, dan menyebabkan “keaiban” sebagai Peguam KPKT, hanyalah alasan lemah yang tidak sejajar dengan prinsip undang-undang berkenaan pengendalian sesuatu inkues. Sekali lagi, Peguam Negara kelihatan teraba-raba dalam mencari titik sempadan antara sifat prosiding inkues dan perbicaraan jenayah.
 
Sepatutnya, ketekunan dan kerja-keras serta peranan aktif yang dimainkan oleh Peguam Syazlin untuk mengemukakan teori alternatif bagi kematian Adib, dengan mengemukakan bukti yang sangat kredibiliti melalui keterangan Prof Dr Shahrum Abd Wahid, perlu disanjung dan dipampas dengan sewajarnya kerana usaha keras itu akan dapat membantu Koroner membuat pertimbangan yang lebih menyeluruh serta dapatan fakta yang lebih adil bagi menepati maksud sebenar kenapa inkues perlu dijalankan.
 
Amat malang lagi, alasan keempat yang dikemukakan oleh Peguam Negara tentang status Peguam Syazlin selaku isteri kepada Pegawai Akhbar Menteri KPKT, tanpa apa-apa penjelasan lanjut, hanya menyerlahkan niat serong untuk memperlekehkan peribadi Peguam Syazlin dan meletakkan denai pembunuhan karektor yang sangat tidak wajar dan tidak beretika. Mustahil keseluruhan Jabatan Peguam Negara tidak mengetahui hubungan ini seawal Peguam Syazlin dilantik mewakili KPKT? Apakah kaitan hubungan suami isteri Setiausaha Akhbar Menteri dengan kepentingan prosiding inkues Adib?
 
Oleh yang demikian berdasarkan keseluruhan naratif diatas, DPPM berpandangan bahawa tindakan Peguam Negara Tommy Thomas yang ‘mengarahkan’ KPKT dan Jabatan Bomba untuk menamatkan khidmat Peguam yang sedang mengendalikan prosiding inkues yang sudah berada pada penghujungnya, tanpa alasan yang munasabah bahkan kelihatan bersifat lepas fikir (afterthought) untuk menutup kelemahan sendiri, hanyalah melengkap siri-siri kelemahan Peguam Negara dalam membantu pentadbiran keadilan di negara ini. Justeru tiada pilihan yang lebih baik, melainkan Tommy Thomas dipecat serta-merta dari jawatan tersebut!
 
“Islam Memimpin”
“Terus Mara”
 
WAN ROHIMI BIN WAN DAUD
Pengarah
Jabatan Hal Ehwal Undang-undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM)
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 30/5/2019
- Advertisement -