Inisiatif 3 Cawangan kumpul sumbangan RM23,000

BALIK PULAU: Tiga PAS Cawangan bergabung tenaga menganjurkan Majlis Iftar Ramadan dan Bantuan Aidil Fitri yang telah dilangsungkan di Markas PAS Teluk Kumbar, di sini semalam.
 
Cawangan tersebut adalah PAS Cawangan Matahari Naik, PAS Cawangan Bukit Gemuruh dan PAS Cawangan Sungai Batu yang berada dalam pentadbiran PAS Kawasan Balik Pulau.
 
Inisiatif yang berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak RM23,000 daripada kalangan korporat dan orang ramai ini telah memberi manfaat kepada golongan asnaf dan guru-guru PASTI.
 
Seramai 80 penerima memperoleh sumbangan pada majlis yang disempurnakan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff dengan dihadiri Ketua-ketua PAS Cawangan berkenaan.
 
Menurut Pengarah Program, Abdul Razak Mansor, majlis tersebut diadakan bagi meringankan beban asnaf yang akan mengadakan persediaan menyambut Syawal selain sebagai tanggungjawab sosial.
 
Majlis yang turut dihadiri Ketua Urusan Ulamak PAS Balik Pulau, Ustaz Zainal Abidin Othman itu juga menyaksikan hubungan erat antara masyarakat setempat dan ahli-ahli PAS. – HARAKAHDAILY 28/5/2019