Matrikulasi: DAP biadab isukan kuota Bumiputera

- Advertisement -
PEMUDA PAS Selangor memuji dan menyokong ketegasan kenyataan Menteri Pendidikan dalam mempertahankan kuota Bumiputera untuk program matrikulasi walaupun mendapat tentangan hebat dari sebahagian pemimpin DAP.
 
Pemuda PAS Selangor bertegas bahawa apa yang dipertahankan oleh Menteri Pendidikan dalam isu ini adalah selaras dengan Perkara 153 Perlembagaan Malaysia dalam menjaga kedudukan keistimewaan kaum Bumiputera. Ia juga biasanya dianggap sebagai sebahagian daripada kontrak sosial yang telah lama diamalkan.
 
Pemuda PAS Selangor menyelarkan sebahagian pemimpin DAP yang mempolitikkan isu kuota matrikulasi dengan hujah rasis. Sedangkan matrikulasi telah pun dibuka kuota bagi pelajar bukan Bumiputera pada tahun 2002 sesi kemasukan 2003 dan ia telah pun bertambah. Malah menurut satu kenyataan dari Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di dalam negara Malaysia ini telah wujudnya sekolah vernakular seperti SJKC sebanyak 1,300 buah dan SJKT sebanyak 500 buah.
 
Pemuda PAS Selangor membidas sikap rasis yang sebenarnya namun didiamkan oleh pemimpin DAP apabila terdapat segelintir majikan yang menetapkan syarat fasih berbahasa Mandarin dalam mendapatkan pekerjaan. Perkara ini didedahkan oleh kajian Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) yang menunjukkan orang Cina lebih mudah mendapat temuduga di sektor swasta, berbanding orang Melayu dan India. Kajian itu juga menunjukkan wanita tak bertudung lebih mudah dipanggil temuduga daripada mereka yang bertudung.
 
Pemuda PAS Selangor meminta semua pihak untuk berhenti dari mempolitikkan isu kuota matrikulasi ini dengan menghormati Perkara 153 Perlembagaan Malaysia dan menjaga keharmonian dengan tidak membelakangi kontrak sosial yang telah lama diamalkan sejak kemerdekaan.
 
“Bangkit; Pemuda Perintis Kebangkitan Ummah”
 
USTAZ HANAFI ZULKAPLI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
Tarikh : 16 Ramadhan 1440 / 21 Mei 2019 – HARAKAHDAILY 21/5/2019
- Advertisement -