PAS Johor bentang Pelan Strategik 2018-2022

- Advertisement -

AYER HITAM: Pelan Strategik PAS Negeri Johor 2018-2022 adalah usaha “Merealisasi Islam Memimpin” yang dicita-citakan, demikian menurut Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Hussin.

- Advertisement -

Beliau membentangkan enam teras pelan tersebut yang mencakupi politik, pentadbiran, dakwah dan tarbiyah, ekonomi, kebajikan dan pendidikan sempena Konvensyen PAS Johor, di sini hari ini.

Antara digariskan adalah pemerkasaan semua parti dalam Gagasan Sejahtera menerusi konsep tahaluf dan ta’awun, selain menilai potensi kerusi-kerusi boleh dimenangi di negeri ini.

Turut diutarakan adalah kebangkitan kesedaran politik dalam masyarakat disamping memberi kefahaman berkaitan ancaman terhadap Islam dan Melayu menerusi program Johor Sejahtera.

Ustaz Abdullah juga mengemukakan perhatian agar setiap PAS Kawasan memiliki prasarana pejabat rasmi yang lengkap termasuk Setiausaha Kerja Tetap, selain sistem fail dan dokumentasi.

Jelasnya, teras pentadbiran tersebut adalah ke arah organisasi parti menjadi lebih tersusun agar dapat memenuhi pengurusan secara sistematik yang berkesan dan mantap.

Penyelarasan usrah ditekankan beliau di bawah teras tarbiyah dan dakwah dengan mengemukakan satu modul tarbiyah yang sesuai dengan waqi’ Johor bakal dilancarkan nanti.

Pelan tersebut turut melampirkan saranan aktiviti kemasyarakatan yang perlu digerakkan menerusi NGO dan NGI di mana ia selari dengan teras kebajikan diketengahkan.

Tidak dikesampingkan adalah agenda pendidikan sebagai strategik terpenting menerusi pembangunan TASTI, PASTI, SRITI dan SMITI yang lebih tersusun dan sistematik.

Hadir sama adalah Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marsuki yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat serta perwakilan PAS Kawasan-kawasan seluruh Johor. – HARAKAHDAILY 18/5/2019

- Advertisement -