T’ganu mahu belajar ternak rusa dari Perak

LENGGONG: Kerajaan Negeri Terengganu bakal mencontohi Perak dalam usaha memanfaatkan tanah-tanah kosong yang telah diwartakan sebagai rizab padang ragut dengan meneroka industri ternakan rusa.
 
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, dari seluruh 4,800 hektar padang ragut di negeri itu, hanya 2,000 hektar telah dimajukan dengan ternakan unggas dan ruminan.
 
Katanya, kerajaan berhasrat untuk memanfaatkan baki kawasan berkenaan dengan ternakan rusa kerana sehingga kini bidang ternakan itu masih belum dibuat secara besar-besaran. 
 
“Di Terengganu, ternakan rusa belum ada dibuat secara besar-besaran  sepertimana di Perak, khususnya di Lenggong, yang ada hanya lebih kepada usaha secara individu di atas tanah-tanah pada skala kecil.
 
“Dari segi tanah yang boleh kita manfaatkan, kita rasa Perak dan Terengganu hampir sama, yang mana di Terengganu masih ada banyak tanah kosong yang kita dah wartakan sebagai padang ragut, sama seperti Perak.
 
“Cumanya dari segi memanfaatkan padang ragut itu secara optimum, kita nampak Perak lebih ke hadapan,” katanya selepas melawat padang ragut termasuk Pusat Ternakan Haiwan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Sumpitan, d
 
Dua padang ragut lagi yang turut dilawati dan diusahakan secara berkelompok di bawah seliaan JPV ialah Padang Ragut Kampung Luat dan Padang Ragut Kampung Chepor.
 
Rombongan seramai 15 anggota itu juga disertai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syari’ah, Pendidikan dan Pendidikan Tinggi Terengganu, Ustaz Maliaman Kassim dan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria selaku tuan rumah.
 
Rombongan yang dijamu makan tengahari di Padang Ragut Kampung Chepor itu telah diiringi Penolong Pegawai JPV Negeri Perak, Abdul Hanit Mat Sham dan Penolong Pegawai JPV Hulu Perak, Kamal Bachta Abdul Ghani.
 
Dr Azman berkata, Perak lebih terkehadapan dalam kontak industri ternakan rusa, manakala Terengganu setakat ini lebih kepada ternakan lembu, kambing, kambing tenusu dan unggas.
 
Maklumnya, dalam tempoh setahun kerajaan baru ini, Terengganu sedang merancang gerak kerja yang intensif untuk membaikpulih semula projek-projek yang tidak mencapai objektif dari segi pelaksanaannya.
 
“Untuk tujuan itulah kita bawa rombongan yang termasuk juga Timbalan Pengarah JPV Terengganu serta beberapa rakan yang telah menceburi industri ternakan rusa dalam lawatan singkat ini bagi menimba pengalaman baru.
 
“Kita akui Perak, khususnya Lenggong adalah daerah paling berjaya berbanding negeri-negeri lain dalam bidang ternakan rusa dan pengalaman ini adalah sangat penting untuk dikongsi bersama,” tambahnya.
 
Beliau sangat berpuas hati dengan lawatan itu dan tertarik dengan konsep menternak secara berkelompok yang diamalkan, sepertimana Padang Ragut Kampung Luat yang diusahakan oleh 11 ahli.
 
Sementara itu, Razman ketika diminta mengulas lawatan tersebut, mengucapkan jutaan terima kasih kepada rombongan dari Terengganu yang diketuai Dr Azman kerana sudi menjadikan Lenggong sebagai destinasi untuk menimba pengalaman dalam industri ternakan rusa.
 
Katanya, kesudian mengadakan hubungan dua hala untuk bidang berkenaan adalah sangat baik memandangkan Lenggong sudah lama terkenal dengan industri ternakan rusa, diharap berjaya dikembangkan pula di Terengganu. – HARAKAHDAILY 1/5/2019
IMG 20190501 WA0058