Tiada untungnya sikap memusuhi penjawat awam

AHLI politik PH khususnya dari DAP dengan kedudukannya dalam kerajaan dilihat berkelakuan angkuh dan rakus apabila cuba mencengkam para penjawat perkhidmatan awam. Ia menyerlahkan sikap mabuk kuasa dan tidak matang hingga mencipta konfrontasi tidak sewajarnya antara kedua pihak yang mentadbir urus negara.
 
Bahkan tidak keterlaluan dikatakan ianya adalah cubaan balas dendam dan desakan untuk memperbudakkan penjawat awam selaku tunjang penting negara. Malah, ia satu bentuk campur tangan tidak profesional dalam konteks pengasingan kuasa antara Legislatif, Eksekutif dan Kehakiman yang sepatutnya dipraktikkan.
 
Jeleknya, sikap ahli politik DAP ini beralaskan skeptikal kononnya penjawat awam berpihak pada kerajaan lalu hingga perlu diadakan ‘pemutihan’. Ini bukan sahaja mencabul semangat demokrasi, bahkan petunjuk betapa DAP kuat memaksa supaya doktrin atau agendanya terlaksana dengan memperalatkan jentera kerajaan.
 
Walhal, para penjawat awam diyakini bekerja menurut ketetapan peranan, tanggungjawab dan kemahiran mereka, serta setia mendukung hala tuju negara berteraskan Perlembagaan Persekutuan. Bukan menjadi keldai parti politik yang bertindak atas kepentingan dan muslihat tidak absah serta berlawanan hasrat pertiwi Malaysia.
 
Kami turut menyedari dan mengakui masih terdapat banyak pembaikan diperlukan atas perkhidmatan awam sebagai pihak penyampai antara kerajaan dan rakyat. Namun bukan dilakukan sewenangnya dan mengenepikan prosedur termaktub, apatah lagi seakan saling bermusuhan antara satu sama lain.
 
Hakikatnya, telah banyak perubahan dan kecekapan yang dicapai menerusi perkhidmatan awam selaras tuntutan zaman. Sebaliknya, kerencaman, keperluan dan ekspektasi rakyat selaku pelanggan mencabar desakan ke atas memenuhi kesediaan teknologi dan tenaga kerja yang mampu, efisien dan efektif.
 
Seharusnya ahli politik selaku pemimpin kerajaan mempertaut hubungan erat dengan penjawat awam. Ia penting untuk bergerak seiring dan melengkapi ke arah menjana wawasan negara. Jika sebaliknya, ia hanya melahirkan kebencian dan keingkaran hingga boleh membantut atau menggagalkan pembangunan Malaysia.
 
Ambillah peringatan diutarakan bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin supaya Menteri menjalin kerjasama erat, bersatu padu dan duduk bersama penjawat awam serta agensi di bawah kementerian. Minta pandangan mereka agar para penjawat awam tidak lepas tangan hingga menjadi punca kegagalan.
 
Pada kuasa dan hak dimiliki sekian Menteri atau Timbalan Menteri, kami menasihatkan agar berhemah dan menghormati para penjawat awam. Hentikan sikap ala diktator yang hanya menonjolkan sisi jahat dan negatif. Manfaatkan segala pengalaman dan kepakaran mereka memajukan negara ini dan ketamadunannya.
 
Kami mendengar rintihan yang banyak di mana menuntut supaya diperjuangkan pemerkasaan perkhidmatan awam. Terutama mereka di sektor keselamatan, kesihatan dan pendidikan. Kami juga begitu menghargai dan memberi tabik hormat atas komitmen kerja dan kesetiaan mereka kepada tanah air tercinta ini.
 
“Islam Memimpin”
“Terus Mara”
 
YB USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 19/4/2019