KM P. Pinang bohong status lulus projek?

- Advertisement -
DAKWAAN Ketua Menteri, Chow Kon Yeow kononnya Perdana Menteri telah meluluskan projek Penambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) ternyata satu kegelojohan. Malah memalukan apabila disangkal Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad bahawa ia belum diluluskan Majlis Perancangan Fizikal Negara dan masih dalam pertimbangan.
 
Sikap itu hanya menzahirkan lagi wajah sebenar DAP yang begitu terdesak dan tergesa-gesa mahukan PSR sebagai sumber pendanaan utama Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP). Walhal, pengumumannya itu menandakan PTMP yang bernafsu DAP dan beragenda keuntungan pemaju ghairah mahu mendapat ‘lesen besar’ tersebut.
 
Mengikuti serta menghimpun segala pandangan, kami dapati projek mega ini telah tersasar daripada tujuan asalnya. Objektif PTMP adalah menyelesaikan masalah trafik dan pengurusan pengangkutan menyeluruh. Ia akan dibangunkan Konsultan Halcrow yang berkepakaran dalam bidang pengurusan pengangkutan.
 
Tetapi kini ia jauh melencong ke arah memenuhi motif dan agenda politik serta kepentingan DAP, selain menimbulkan pelbagai kesan negatif. Secara prinsipnya, kami tidak menghalang pembangunan. Tetapi Islam mengajar kami pembangunan mestilah seimbang dan menghadirkan manfaat kesejahteraan, bukannya risiko kerosakan.
 
Begitu juga cadangan baharu pembinaan Laluan Ketiga Terowong Bawah Laut yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Di dakwa ia hanya ‘wujud’ selepas campur tangan Konsortium Zenith. Bahkan kesannya, kos cadangan asal tidak lebih RM10 bilion oleh Halcrow, meningkat kepada RM27 bilion melibatkan Zenith.
 
Kosnya terus melambung tinggi menjadi RM46 bilion apabila Konsortium SRS yang berjaya terpilih secara ‘Request for Proposal’ turut terlibat sebagai Rakan Pelaksana Projek (PDP). Natijahnya, Projek Lebuh Raya Pan Island Link 1 (PIL 1) yang akan dibangunkan membawa bersama banyak risiko negatif terutama kerosakan dan bencana alam.
 
Antara perubahan landskap ketara bakal terjadi adalah pemusnahan bukit bukau di daratan pulau dan khazanah alam perairan seluas 4,500 ekar. Ini tidak termasuk ‘pakej’nya ke atas sungai dan persisiran pantai serta pencemaran. Tentunya ia akan menjejaskan kehidupan penduduk akibat banjir, hakisan, ribut dan sebagainya, termasuk hilang mata pencarian.
 
Setidak-tidaknya empat malapetaka dijangka berlaku dari semua projek ini iaitu, Pertama, kerosakan alam sekitar dan risiko bencana; dan Kedua, pembangunan tidak seimbang, mengabaikan rakyat dan keuntungan hanya di pihak pemaju; serta Ketiga, perubahan demografi drastik yang menjejaskan keharmonian rakyat berbilang kaum.
 
Manakala, Keempat, integriti yang meragukan dan kelemahan urus tadbir Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Sejajar dengan empat perkara ini, kami akan gerakkan jentera penerangan supaya rakyat tidak terpedaya dengan manipulasi DAP serta segala gugatan bakal dihadapkan mereka terhadap negeri dan rakyat Pulau Pinang.
 
“Islam Memimpin”
“Terus Mara”
 
AHMAD SAFUAN UJAR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 19/4/2019
- Advertisement -