Peneroka setuju elaun sara hidup dikurang?

RoslanME
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbul persoalan peneroka mana yang dimaksudkan oleh Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Sulong Jamil Mohd Shariff mengenai peneroka bersetuju bayaran elaun sara hidup dikurangkan kepada RM1,000.

- Advertisement -

Menempelak kenyataan itu, badan bukan kerajaan Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (GENERASI) menyifatkan Sulong mengeluarkan kenyataan tidak waras dan hanya memandai-mandai.

Mewakili warga peneroka, Pengerusi GENERASI, Ustaz Roslan Md Esa berkata beliau tidak percaya sejumlah 112,635 peneroka boleh bersetuju elaun dikurangkan dalam keadaan bebanan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Saya tidak fikir peneroka boleh bersetuju, hanya orang tidak waras boleh bersetuju dengan hal ini dalam keadaan duit sebelum ini dapat dalam jumlah yang besar tiba-tiba boleh bersetuju dapat dalam jumlah yang kecil.

“Saya lihat apa yang dikemukakan oleh saudara Sulong ini yang dikatakan mewakili peneroka, saya nampak ianya lebih kepada mengaburi mata peneroka dan ianya tidak lebih hanya mempermainkan peneroka,” katanya kepada Harakahdaily.

Beliau mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji terhadap peneroka yang telah memilih mengundi PH pada PRU14 sekali gus memberi kemenangan besar kepada kerajaan hari ini.

“Kita kena ingat bahawa 54 parlimen, 112,635 jumlah peneroka dikalikan dengan peneroka wirawati kemudian anak-anak generasi kedua yang sudah mengundi Pakatan Harapan inilah yang telah memenangkan mereka.

“Jadi bila mereka tidak dapat seperti yang dijanjikan saya kira ini ialah satu kegagalan yang sangat mengecewakan peneroka,” tambahnya.

Katanya, bayaran RM1,500 yang diterima itu bukan sejumlah duit yang segera boleh dapat malah duit tersebut merupakan pinjaman sara hidup yang perlu dibayar oleh peneroka.

“Pihak kerajaan pula tidak lebih hanya mengelentong rakyat dan peneroka tentang Felda sudah tidak ada lagi aliran tunai, dan sebagainya.

“Saya lihat adalah satu tidak wajar, selamanya kita membohongi peneroka dengan alasan bahawa felda tidak ada aliran tunai, duit felda sudah tidak ada, jadi itu adalah tanggungjawab kerajaan bagaimana nak menyelesaikan masalah yang berlaku kepada peneroka,” tambah Ustaz Roslan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Sulong bahawa Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) dalam mesyuarat bersama dengan pengurusan Felda yang berlangsung di Menara Felda semalam telah memutuskan bersetuju supaya elaun sara hidup peneroka Felda dikurangkan kepada RM1,000 berbanding RM1,500 sekarang. – HARAKAHDAILY 20/3/2019

- Advertisement -