PAS Kedah sambut baik pengumuman Azmin

- Advertisement -

ALOR SETAR: PAS Kedah menyambut baik pengumuman Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkenaan peruntukan RM4.8 billion kepada pembangunan dan mengharapkan ia memberi impak positif kepada rakyat keseluruhannya di Jelapang Padi itu.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi, dalam kenyataannya berkata, secara tersiratnya pengumuman itu memperlihatkan kejayaan PAS membawa mesej betapa perlunya pembangunan serta kesejahteraan rakyat, walaupun berada di posisi pembangkang.

“Saya mengharapkan dengan peruntukan itu pembangunan yang bakal dilaksanakan memberi impak positif kepada rakyat dan bukannya sekadar halwa telinga semata-mata,” ujar beliau.

Menurutnya lagi, lima projek gajah putih bakal dilaksanakan, antaranya meneruskan projek Lapangan Terbang Antarabangsa yang diluluskan semasa Kedah di bawah pemerintahan Barisan Nasional penggal lalu dan lain-lain yang dirancang sebelum ini.

Walau bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan dan negeri disarankan agar mengambil inisiatif menyemak semula dasar-dasar tertentu seperti penyelesaian isu air, penetapan dan penguatkuasaan harga lantai komoditi sawit dan getah, perumahan untuk golongan B40 serta masalah kemiskinan masyarakat luar bandar.

“Pengimbangan pembangunan perlu diwujudkan agar dengan itu dapat membebaskan rakyat dari dibelenggu dengan pelbagai masalah selain ketidaktentuan ekonomi sekarang ini,” sambung beliau lagi.

Katanya lagi, PAS tetap komited mempraktikkan konsep Budaya Politik Matang Sejahtera, menyokong perkara-perkara yang memberi keuntungan kepada rakyat dan negeri, serta tegas menegakkan keadilan ke atas perkara-perkara yang menjurus ke arah kezaliman.

Sehubungan itu, ujarnya kerajaan diingatkan jangan silap perkiraan kerana ia akan menyebabkan jurang kadar kemiskinan akan kian melebar dan berpotensi menimbulkan perasaan tidak puas hati dan diskriminasi melampau di kalangan rakyat. – HARAKAHDAILY 20/3/2019

- Advertisement -