Munajat AKIFI satukan Muslimat dan Wanita Lumut

- Advertisement -

LUMUT: Agenda Islam dan Melayu bukan sahaja telah membentuk ‘muafakat pembangkang’ pada Pilihan Raya Kecil yang diadakan selepas PRU14, tetapi semakin erat mengikat persaudaraan.

- Advertisement -

Hubungan itu semakin meluas hingga ke akar umbi PAS dan Umno apabila Dewan Muslimat PAS Kawasan Lumut dan Wanita Umno Bahagian Lumut telah bersama dalam Munajat AKIFI.

Program yang diadakan sempena PRK Semenyih itu dihadiri lebih 50 Muslimat PAS dan Wanita Umno itu telah berlangsung dengan jayanya di Kompleks At-Ta’alim, Batu 7, Lekir, Sitiawan, di sini kelmarin.

Pengisian utama program julung kali penuh mahabbah itu adalah bacaan Yaasin, solat jamaah dan zikir yang dipimpin oleh Pengerusi Lajnah Tarbiyah Dewan Muslimat PAS Lumut, Putiah Shahrani.

Ketua Muslimat PAS Lumut, Rohawati Abidin dalam tazkirahnya menyeru Muslimat PAS dan Wanita Umno untuk mempertahankan kepimpinan Islam disamping bermunajat memohon pertolongan Allah.

Manakala Setiausaha Wanita Umno Lumut, Noorazlina Shaadan pula menyatakan hasrat pihaknya agar program bersama seperti itu dapat diperbanyakkan lagi dalam masa terdekat. – HARAKAHDAILY 3/3/2019

- Advertisement -