PAS bantu penuh gigih – Asyraf Wajdi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki merakamkan penghargaan tidak terhingga kepada kepimpinan PAS Pusat dan negeri khususnya Dewan Pemuda PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Semenyih.

- Advertisement -

“Secara peribadi dan mewakili saf kepimpinan Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, saya ingin merakamkan penghargaan tidak terhingga kepada kepimpinan PAS Pusat dan negeri khususnya Dewan Pemuda PAS yang bekerja sepenuh jiwa dan raga membantu kami jentera Pemuda BN dan Umno di Semenyih,” ujarnya menerusi laman Facebook.

Menurutnya, beliau menyaksikan sepanjang 14 hari, PAS membantu dengan penuh gigih bergerak dari rumah ke rumah, pasar ke pasar bertemu pengundi, ceramah bersama bahkan paling manis dapat berbuka puasa Isnin dan Khamis dan bermunajat bersama.

Beliau berharap semoga Semenyih menjadi saksi permuafakatan jitu antara dua parti terbesar mewakili Melayu-Islam yang dipaterikan atas dasar kasih sayang kerana Allah, perjuangan memartabatkan Islam dan kesatuan Ummah.

“Ya Allah Engkau Berkatilah dan Rahmatilah kerjasama dan kesatuan ini,” ujarnya lagi.

Pada PRK Semenyih yang diadakan semalam, calon BN, Zakaria Hanafi memperoleh 19,780 undi, Muhammad Aiman Zainali (PH) mendapat 17,866 undi, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul (847 undi) manakala calon Bebas, Kuan Chee Heng (725 undi). – HARAKAHDAILY 3/3/2019

- Advertisement -