Semenyih: 26 pusat mengundi dibuka

- Advertisement -

HULU LANGAT: Sebanyak 26 pusat pengundian dengan 119 saluran bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih dibuka mulai 8 pagi ini bagi membolehkan 53,520 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.

- Advertisement -

Semua pusat pengundian akan ditutup pada pukul 5.30 petang.

Proses penjumlahan undi akan dilakukan di Dewan Seri Cempaka, MPKj Saujana Impian, sebaik sahaja proses pengundian tamat pada pukul 5.30 petang ini.

Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun, seramai 992 orang petugas dilantik untuk mengendalikan proses PRK Dun Semenyih.

Beliau merayu semua pengundi keluar menunaikan tanggungjawab.

Beliau turut menasihatkan agar pengundi merancang masa dan keluar pada awal pagi serta tidak memilih untuk keluar mengundi pada saat akhir.

PRK Dun Semenyih menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali, Zakaria Hanafi (Barisan Nasional), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng.

Kerusi Semenyih kosong susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung. – HARAKAHDAILY 2/3/2019

- Advertisement -