Persaingan sengit, BN ada sedikit kelebihan

- Advertisement -

SEJAK jam 8 pagi tadi, kesemua Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih telah dibuka untuk proses pembuangan undi.

- Advertisement -

PRK kali ini menyaksikan kehangatan isu-isu nasional dimainkan sepanjang kempen yang tamat jam 12.00 tengah malam tadi.

Pecutan akhir sehingga jam 12.00 tengah malam menyaksikan masing-masing menumpukan kepada ceramah umum secara besar-besaran kecuali calon Bebas, Kuan Chee Heng yang tidak langsung menumpukan ceramah sebagai satu solusi kempen.

PAS-Umno melalui calon Zakaria Hanafi berkempen rumah ke rumah, begitu juga calon BN, Muhammad Aiman Zanuli pula turut menemui pengundi di kesemua lokasi, sementara calon Bebas lebih banyak menumpukan ke kawasan pengundi berlatar belakang kehidupan dhaif dan miskin.

Sejak lepas solat Jumaat semalam, masing-masing mempergiatkan usaha kempen, calon PSM mengedar risalah di beberapa buah masjid dan kawasan sasaran mereka termasuk di Bukit Mahkota.

Melihat kepada kempen dan kecenderungan pengundi sepanjang dua minggu proses kempen berjalan, calon BN dilihat memiliki sedikit kelebihan kerana latar belakangnya sebagai orang yang dekat dengan masyarakat di Semenyih, kejayaan anak-anak dan pendekatan mesra yang ditunjukkan walaupun berdepan persaingan sengit calon PH, Muhammad Aiman yang memiliki kelebihan sebagai calon kerajaan pemerintah khasnya bagi negeri Selangor.

Adapun suara-suara masyarakat Semenyih yang tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan PH sudah mula kedengaran hangat sepanjang kempen.

Lawatan ke premis perniagaan, pasar malam, gerai tepi jalan dan pengunjung pasaraya sekitar Semenyih mendapati ramai dalam kalangan pengundi mahu memberi signal bantahan kepada PH khususnya kerana tidak mengotakan janji manifesto sejak menang pada Mei tahun lepas.

Isu beberapa skim bagi kemudahan rakyat yang dikurangkan dan ditarik balik menjadi perbualan hangat masyarakat setempat.

Malah isu-isu perbalahan antara pemimpin PH disamping tiada kerjasama utuh antara parti komponennya dalam kempen jelas ketara dan ia menggambarkan suatu pakatan yang longgar di mata rakyat.

Pun begitu, jika melihat kepada faktor kelebihan calon PH yang berlatar belakang pendidikan yang agak baik di samping mewakili parti pemerintah, undi untuk kestabilan dan undi harapan kepada kerajaan negeri akan sedikit memberi kelebihan jika rakyat masih mahu memikirkan memberi undi kepada PH.

Namun dalam masa yang sama, sentimen isu-isu mengganggu gugat urusan umat Islam serta Melayu yang dikaitkan dengan PH turut menjadi pertimbangan pengundi dalam menolak calon parti kerajaan.

Untuk PRK kali ini, seramai 992 orang petugas dilantik untuk mengendalikan proses PRK Semenyih.

Manakala sebanyak 26 buah Pusat Mengundi yang mengandungi kesemuanya 119 saluran digunakan untuk kemudahan mengundi bermula jam 8 pagi.

Dalam satu kenyataan SPR sebelum ini menyebut PRK ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM1.8 juta.

Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan untuk PRK ini adalah sehingga Suku Ketiga Tahun 2018 yang dikemaskini sehingga 11 Januari 2019.

Daftar Pemilih tersebut mengandungi 54,503 orang pemilih berdaftar yang terdiri daripada 53,520 orang pengundi biasa, 951 orang pengundi awal dan 32 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara. Daftar Pemilih tersebut dijual pada 12 Februari 2019.

PRK Dun Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH) Muhammad Aiman Zainali, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Nik Aziz Afiq Abdul, Zakaria Hanafi dari Barisan Nasional (BN) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng (Encik Kentang)

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor dari Bersatu yang mewakili PH pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

SPR menjangkakan keputusan PRK Semenyih akan dapat diumumkan sekitar jam 9.00 ke 10.00 malam ini bergantung kepada kelancaran proses pengiraan selepas pusat mengundi dijangka tutup jam 5.00 petang ini.

PRK kali ini mungkin bakal memberi kejutan kepada rakyat Malaysia sekali lagi, sama-sama kita nantikan keputusan rasmi malam ini. – HARAKAHDAILY 2/3/2019

se5

- Advertisement -