LGE, DAP menikus, amal ‘Politik Sembelit’

- Advertisement -
TERNYATA Lim Guan Eng mahupun DAP menikus apabila dicabar untuk menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri sehingga tamat penggal Kerajaan PH atau PRU15. Ia bukti teramat jelas kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa sememangnya sedang berlaku pergolakan yang amat besar di dalam Kerajaan PH di sebalik semua gambaran indah diberikan.
 
Jika benar Lim Guan Eng mahupun DAP menyokong Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri sehingga PRU15, sebenarnya amat mudah untuk mereka membuktikan taat setia dan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Tun Dr Mahathir. Namun mereka memilih untuk berdiam diri tidak menyahut cabaran PAS, sebaliknya menyuruh anak didiknya membuat cereka komedi tidak cukup masak.
 
Usahlah menjadi ‘penunggang agama’ untuk menutup kesalahan, pengkhianatan atau keburukan yang dilakukan. Usah menggunakan hukum agama untuk kepentingan parti anda. Agama bukan untuk dijual beli seperti yang biasa dilakukan. Sebelum mengajar PAS mengenai hukum agama, cuba hadam pepatah Melayu, “Umpama tikus membaiki labu”. Sendiri jalan senget hendak ajar orang lain jalan tegak.
 
Lebih elok Lim Guan Eng dan DAP bisikkan di telinga Husam Musa dan Ambiga agar tampil membawa segala bukti kepada SPRM berkaitan tuduhan RM90 juta. Sebelum mengomel mengenai kaedah al-bayyinah ‘ala al-mudda’i, DAP sendiri patut amalkannya dengan mengemukan bukti berserta tuduhan. Bagaimana hendak bicara hukum tetapi DAP sendiri menolak hukum dan tidak amalkan? Ternyata DAP memang ‘penunggang agama’, menggunakan hukum untuk kepentingan politik mereka sendiri.
 
DAP sebenarnya mengamalkan ‘Politik Sembelit’, tahun 2013 cakap A dan tahun 2019 cakap B. DAP memang tidak boleh dipercayai dan sanggup berbuat apa sahaja untuk mencapai matlamat poltik mereka. Dahulu tidak cukup siang, dengan malam sekali mereka berteriak Tun Dr Mahathir korup, salah guna kuasa dan zalim. Apa yang Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Nga Kor Meng dan seluruh juak-juak DAP tidak tuduh, cemuh dan keji terhadap Tun Dr Mahathir?
 
Tidak cukup dengan itu, mereka mendesak SPRM menyiasat Tun Dr Mahathir, malah turut mendesak ditubuhkan RCI untuk menyiasat segala tuduhan mereka. Tidak cukup sidang akhbar, laporan polis juga dibuat terhadap Tun Dr. Mahathir. Sekarang ke mana hilang semua desakan, tuduhan, cemuhan dan kejian tersebut? Adakah selama ini mereka menipu rakyat Malaysia dengan menuduh, mengeji, mencemuh dan memfitnah Tun Dr Mahathir sewenang-wenangnya tanpa bukti? Sekarang sudah jelas siapa yang sebenarnya membenarkan tipu daya, menuduh tanpa bukti dan menyuburkan budaya fitnah di dalam politik negara untuk kepentingan politik mereka sendiri?
 
Sedarlah rakyat Malaysia, usah tertipu lagi dengan budaya ‘Politik Sembelit’ DAP. Cukuplah sekali tertipu sebagai pengajaran. Mungkin ini agaknya Islam Moderat yang di sebut Lim Kit Siang baru-baru ini, menggunakan agama untuk menutup kesalahan sendiri atau lebih tepat lagi ‘Penunggang Agama’. Sudahlah Lim Guan Eng atau pimpinan tertinggi DAP langsung tidak berani menyahut cabaran PAS, disuruhnya pula anak buahnya yang tidak cukup masak bercakap. Maaf Edry Rizal, sudah lama di Malaysia tidak nampak The Royal London Circus, cubalah lawak tidak masak anda di tempat lain pula.
 
“Umpama meludah ke langit, akhirnya terjatuh ke muka sendiri”.
 
YB USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 20/2/2019
- Advertisement -