MTEN: Petanda ekonomi atau luntur kepercayaan

shahir3
- Advertisement -

DEWAN Pemuda IKATAN Malaysia mengajak seluruh rakyat Malaysia menyoroti sejarah 20 tahun yang lepas, sekitar tahun 1998, iaitu tahun yang sama Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan kedua tertinggi pentadbiran kerajaan.

- Advertisement -

Pada tahun tersebut, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) atau The National Economic Action Council ditubuhkan sebagai badan penasihat kepada Kabinet untuk menangani krisis ekonomi yang timbul ketika itu.

Pada tahun 1998, MTEN ditubuhkan bertujuan menyelaras perancangan dan pelaksanaan dasar ekonomi secara menyeluruh. Ketika itu, Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri bertindak sebagai Pengerusi, manakala Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai TImbalan Pengerusi.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia amat menghargai peranan MTEN ketika itu yang berjaya meletakkan Malaysia di landasan yang betul, memantapkan ekonomi negara melalui pelan yang begitu komprehensif dan tersusun hingga mengeluarkan Malaysia dari kemelut ekonomi pada waktu itu. Harus diingat bahawa kemelut ekonomi pada waktu itu melibatkan seluruh negara ASEAN dan sebilangan besar negara kuasa besar.

Pada waktu itu, kegawatan ekonomi Malaysia merupakan tempias kepada ketidakstabilan ekonomi dunia. Syabas diucapkan di atas kebijaksanaan Tun Mahathir pada waktu itu.

Hari ini, setelah 20 tahun berlalu, Perdana Menteri yang sama, Tun Dr. Mahathir, telah mengumumkan penubuhan MTEN sebagai majlis khusus untuk menyelaraskan pelaksanaan dasar ekonomi secara menyeluruh. Kali ini, komposisi MTEN amat berbeza apabila Timbalan Perdana Menteri, tidak lagi menjadi Timbalan Pengerusi MTEN, malah tidak terlibat langsung di dalam majlis yang penting untuk ekonomi negara.

MTEN tahun 2019 juga diwujudkan bukan sebagai tindakbalas kepada kegawatan ekonomi ASEAN atau dunia seperti tahun 1998. Ekonomi negara jiran seperti Thailand dan Indonesia dilihat amat kukuh ketika ini.

Persoalannya, adakah MTEN 2019 diwujudkan kerana ketidakupayaan Menteri-Menteri melaksanakan tugas mereka untuk mengemudi ekonomi negara? Adakah MTEN 2019 diwujudkan kerana menteri-menteri gagal dalam menyelaraskan dasar-dasar antara kementerian sehingga keluar percanggahan kenyataan kepada media dan rakyat umumnya. Contoh terdekat adalah percanggahan kenyataan mengenai ECRL antara YB Lim Guan Eng dan Dato’ Seri Mohamad Azmin Ali sehingga rakyat keliru.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia berharap kerajaan komited untuk memulihkan kembali ekonomi negara yang terjejas teruk sejak PRU-14 lalu. Kenyataan tidak konsisten daripada Menteri-Menteri membawa bencana kepada ekonomi negara kerana tiada keyakinan oleh pelabur-pelabur asing.

Dengan perlaksanaan MTEN ini, segala agenda dan dasar ekonomi bakal disuarakan oleh Pengerusi MTEN, iaitu Perdana Menteri sendiri. Oleh itu, rakyat harus menilai, adakah MTEN 2019 diwujudkan kerana faktor ekonomi atau faktor hilang kepercayaan?

Demi Bangsa Malaysia!

SHAHIR ADNAN
Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia
Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera
13 Februari 2019 – HARAKAHDAILY 13/2/2019

- Advertisement -