UMMAH bantah kerajaan mansuh hukuman mati

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menuntut kerajaan menghentikan moratorium pelaksanaan hukuman mati secara serta merta dan menegaskan bahawa UMMAH menetang sekeras-kerasnya hasrat kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati di negara ini.

- Advertisement -

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, hukuman mati sepatutnya dikekalkan di negara ini serta kerajaan seharusnya memberikan kebebasan kepada para hakim untuk menentukan hukuman yang sewajarnya kepada penjenayah.

“Berikan pendedahan penuh dan berterus terang mengenai kepentingan para Menteri dan Ahli-ahli Parlimen, terutamanya yang mempunyai karier sebagai peguambela,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa keputusan memansuhkan hukuman mati mandatori bakal memberi kesan dalam pelbagai aspek seperti keselematan awam, kadar peningkatan jenayah, kerugian kos dan sebagainya.

“Kerajaan seharusnya mengutamakan hak dan kepentingan 33 juta rakyat Malaysia berbanding para penjenayah yang jumlahnya minoriti iaitu 1281 banduan akhir yang sedang menunggu hukuman mati.

Bagi mengukuhkan tuntutan tersebut, beliau menjelaskan bahawa hasil penyelidikan bagi negara yang menghapuskan hukuman mati telah melaporkan peningkatan kadar jenayah.

Menurut beliau, keputusan memansuhkan hukuman tersebut juga dilihat satu perkara yang merugikan pembayar cukai memandangkan kerajaan perlu menanggung kos bagi setiap banduan yang mana kos bagi seorang banduan berjumlah RM41 per hari.

Sementara itu, Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata bahawa beliau menyokong sepenuhnya tuntutan tersebut dan menyeru agar orang awam turut menyokong desakan untuk tidak menghapuskan hukuman mati di negara ini melalui petisyen yang diwujudkan oleh UMMAH.

“Saya sudah melihat pelbagai kes jenayah yang berlaku, kita sepatutnya lebih mengambil berat hak keluarga mangsa berbanding penjenayah,” jelasnya.

Beliau turut berpendapat bahawa undang-undang di Malaysia sepatutnya lebih dikuatkuasakan dan menganggap undang-undang tanpa penguatkuasaan adalah satu perkara yang sia-sia.

Kedua-dua mereka ditemui dalam sidang media Majlis Sidang Meja Bulat NGO-NGO Islam di Hotel Putra Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Petisyen menuntut menghalang penghapusan hukuman mati boleh diundi di laman web https://www.change.org/p/do-not-abolish-death-penalty-in-malaysia

- Advertisement -