Kolej New Era: Desak penjelasan Kem. Kewangan

- Advertisement -

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia telah mengeluarkan satu kenyataan media yang mengemukakan penjelasan berhubung isu peruntukan khas kepada Kolej New Era. Berdasarkan laporan media, Kolej New Era telah menerima satu peruntukan khas sebanyak RM2 juta daripada Kerajaan Pakatan Harapan.

- Advertisement -

Kementerian Pendidikan Malaysia menyatakan secara jelas bahawa peruntukan khas tersebut diberi secara terus oleh Kementerian Kewangan kepada kolej dan tidak melalui Kementerian Pendidikan.

shahirDewan Pemuda IKATAN Malaysia berpendapat bahawa Kementerian Pendidikan tidak perlu membandingkan peruntukan khas ini dengan amalan Kerajaan Barisan Nasional yang pernah memberikan peruntukan kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (KUTAR).

Kenyataan media sebegini jelas menunjukkan sikap kebudak-budakan yang terus menjustifikasikan apa jua perkara yang dibuat oleh Kerajaan Pakatan Harapan dengan amalan terdahulu yang dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional. Di manakan semangat Malaysia Baru yang dicanang pemimpin Pakatan Harapan? Sikap sebegini bakal menyebabkan rakyat mual dan muak sehingga menghukum mereka dalam pilihan raya akan datang.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menggesa Kementerian Kewangan Malaysia untuk bersikap telus dan memberikan penjelasan secepat mungkin kepada seluruh rakyat Malaysia. Ini bukan isu perkauman, tetapi isu “good governance” di mana rakyat mahukan kerajaan yang telus.

Bagaimanakah Kementerian Kewangan memberikan peruntukan khas secara terus, di saat rakyat dicanang bahawa kewangan kerajaan berada di dalam keadaan tenat dek skandal 1MDB?

Kolej New Era merupakan sebuah kolej di bawah kelolaan Dong Jiao Zong Higher Learning Center Berhad. Dong Jiao Zong merupakan suara kepada Pendidikan Cina di Malaysia dan menjadi penggerak utama kesatuan pendidikan aliran Bahasa Cina di Malaysia. Antara matlamat utama persatuan ini adalah untuk mempromosikan dan membangunkan sistem pendidikan aliran Cina di Malaysia.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia berpandangan bahawa perpaduan kaum seharusnya bermula daripada peringkat sekolah. Apabila diasingkan aliran-aliran sekolah, terutama sekolah persendirian Cina, yang tidak mengguna-pakai seratu-peratus kurikulum di bawah Kementerian Pendidikan, maka anak-anak Malaysia akan berpecah belah, sejak di bangku sekolah. Dasar sebegini tidak akan menguatkan perpaduan antara kaum.

Demi Bangsa Malaysia!

SHAHIR ADNAN
Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia
Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera
14 Januari 2019 – HARAKAHDAILY 14/1/2019

- Advertisement -