Ustaz Abdul Somad di Hari Murabbi Ummah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Mengambil kira sumbangan besar pendakwah terkenal dari Sumatera Indonesia Ustaz Abdul Somad, Kerajaan Kelantan amat menghargai peranannya.

- Advertisement -

Pendakwah kesukaan ramai di Nusantara itu diundang ke sini sempena program Hari Murabbi Ummah pada 15 Februari depan.

Pengarah program berkenaan Ustaz Wan Roslan Wan Hamat berkata, program tersebut akan diadakan di Stadium Sultan Muhammad Ke IV bermula Maghrib.

Katanya, pendakwah terbabit diundang bagi membicarakan tajuk ‘Tegakkan Islam di Akhir Zaman’.

“Pada malam itu juga kerajaan negeri akan menyampaikan anugerah sebagai menghargai jasa dan sumbangannya dalam bidang dakwah,” katanya di sini.

Sebelum itu selepas solat Maghrib orang ramai berpeluang mendengar kuliah disampaikan pendakwah bebas Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani mengisahkan ‘Hidup Selepas Mati’.

Manakala selepas solat Asar hari sama anak-anak muda juga berpeluang mengikuti bual bicara bersama ikon dakwah anak muda, Ustaz Azhar Idrus.

Program Hari Murabbi Ummah 2019 diadakan selama tiga hari bermula Khamis Jumaat dan Sabtu.

Pada 14 Februari diadakan program Sembang Muslimah bertempat di Kelantan Trade Centre. Pada sebelah petang pula dianjur rentap dikir barat ‘all star’ di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad Ke IV.

Pada hari terakhir pula 16 Februari diadakan program Oghe Kelate Cergas dengan aktiviti fun ride, fun run dan fun walk.

Turut diadakan ekspo dan pameran di Dataran Warisan. Sempena program itu juga akan diadakan satu jam gunting hanya RM1 bertempat di Medan Usahawan.

Pada sebelah petang diadakan konsert generasi sejahtera dengan persembahan KB Buskers.

Selain itu pidato akan disampaikan Ahli Parlimen Pasir Mas Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, Adun Batu Burok Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dan anggota Exco kerajaan negeri Ustaz Wan Roslan Wan Hamat. – HARAKAHDAILY 14/1/2019

- Advertisement -