Perkukuh gandingan parti Islam-Melayu

- Advertisement -

MENDEPANI cabaran semasa yang menyaksikan tekanan dan ancaman kepada kepentingan Islam dan umatnya di Malaysia, memerlukan wujudnya satu blok baru yang kuat dan mantap di arena politik tanah air dewasa ini.

- Advertisement -

nasrudintaBlok baru yang saya maksudkan ialah blok yang dianggotai oleh parti politik Islam dan orang Islam.

Satu blok yang mengembleng kebangkitan Islam dan ummatnya serta menyelaras kesatuan tindakan mereka ke arah memelihara kepentingan Islam dan mereka yang bersamanya termasuk daripada kalangan non-Muslim.

Keangkuhan DAP dan Pakatan Harapan (PH) mutakhir ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Melainkan blok baru yang kuat perlu direalisasikan bagi mewarnai corak baru lanskap politik tanah air yang lebih selamat dan harmoni.

Boleh dimulakan melalui gandingan atau kerjasama strategik parti pembangkang yang besar seperti Umno, PAS dan lain-lain parti politik yang mahu menyertainya dengan objektif yang serupa dan sama.

Tidak semestinya dua parti ini perlu bergabung menjadi satu, tetapi boleh menjalin kerjasama politik demi mengaplikasi sebuah kebaikan dan melunaskan prinsip taqwa dalam kehidupan secara individu, bermasyarakat mahupun bernegara.

Lantas parti-parti tersebut boleh membentuk satu gerakan terancang agar perjuangan dapat dilaraskan dengan betul, strategik, berkesan dan berwibawa.

Saya percaya pihak DAP dan PH akan sedaya upaya ‘menghasut’ rakyat agar menolak gandingan ini terutama melibatkan PAS dan Umno.

Selain cybertrooper yang akan digunakan secara all out, mereka juga akan menggunakan media konvensional termasuk media elektronik bagi membentuk persepsi buruk terhadap kerjasama politik PAS dan Umno.

Realitinya, DAP dan PH sangat takut jika umat Islam bersatu padu, mengelak sengketa dan bebaskan diri dari terkepung dalam prasangka antara satu sama lain juga tidak terperangkap dalam dendam kesumat sesama umat Islam.

Awasi gerakan pecah perintah yang dilakukan oleh mereka terutama bagi menggagalkan kebangkitan umat Islam serta bersatu menghalang tindakan jua cita-cita DAP dan PH yang pastinya tidak menguntungkan Islam dan umatnya.

Ummat Islam Mesti Bersatu – HARAKAHDAILY 28/12/2018

 

- Advertisement -