Kena pakat ligan, Islam mesti duk depan

- Advertisement -

HIMPUNAN 812 sangat menggerunkan. Terpamer kesatuan. Hadir untuk mempertahan kebenaran, mencari redha Tuhan. Jika momentumnya berterusan, boleh jadi undi Melayu Muslim hanya jadi igauan. Sedangkan itulah pengundi sasaran, untuk terus kekal berkuasa atas nama harapan.

- Advertisement -

Timbul pula isu Tabung Haji. Semua pihak kelam kabut tak senang hati. Yalah, simpan duit berhari-hari, nak tunai perintah Ilahi. Tempat yang paling dipercayai, tapi diuar-uarkan rugi. Tangkap sana tangkap sini, alih-alih aset Tabung Haji dipantau Menteri yang tak boleh baca jawi. Harapnya tak silap titik perpuluhan lagi. Institusi Islam terpalit fitnah lagi. Orang Islam juga yang terus gigit jari.

Takdir Yang Esa, almarhum Adib pergi buat selamanya. Momentum Melayu Islam naik membara. Tak senang hati selagi pembunuh tidak didakwa. Hairannya, yang merusuh bersungguh dibelanya. Pengebumian almarhum Adib wira negara, tak nampak pula kelibatnya. Berbeza sungguh dengan sebelumnya, sanggup berkampung meratap mengusung keranda, walaupun berbeza agama. Dulu orang biasa, sekarang Menteri ternama. Jauh berbeza, Nabi pun sanggup didusta!

25 Disember Hari Krismas. Ditiup pula sampai panas. Cara sambut, cara ucap, semuanya dibahas. Bagus juga jadi panas, jadi peluang ulamak mengulas. Rakyat jadi faham dan makin jelas. Merayakannya haram tanpa bahas. Namun mengucapnya harus tapi ada batas. Yang otak cerdik, jadi makin cerdas. Yang otak dungu, bertelagah sesama Muslim dia rasa puas. Tak sedar diri jadi alat politik binatang buas.

Timbul pula isu Tok Guru dimaki caci seorang lelaki. Dikatakan ahli parti DiyAPi. Setakat ini belum ada yang nafi. Tok Guru relaks dan tenang memerhati, tak mudah termakan provokasi. Ramai yang bersimpati, kerana kasih mendalam di hati. Memang lumrah berjuang dicaci dikeji. Yang mengikuti, nampak makin bertambah benci kepada yang memaki. Apatah lagi bila al-Quran yang dicaci, menyirap darah bergetar kaki. Biadap sungguh mereka kali ini! Ada yang menyesal bagi undi baru ini.

Maka, ditugaskanlah wartawan mereka tanya beberapa pimpinan utama, komen tentang parti yang baru tukar nakhoda. Masih relevan atau tak perlu ada. Tujuannya satu sahaja, supaya jadi cacamarba. Tak senang jika damai sejahtera. Melayu Muslim mesti terus bersengketa, itu skrip mereka. Bertepuk tangan berpesta kalau itu berjaya.

Tengah asyik berkira-kira nak naik tahta yang diidam sejak sekian lama, diriwayatkan pula ada seorang kakanda tak boleh tidur lena. Katanya sebab teringatkan adinda. Diberitahu seantero dunia betapa simpatinya kakanda kepada nasib adinda. Dinasihatnya supaya terus tabah berusaha, jangan peduli apa orang kata. Adinda pula diam seribu bahasa. Alangkah kecewa luruh berderai jiwa, warkah kakanda dipandang sepi tanpa bicara. Kakanda pula jadi bahan jenaka. Kena troll siang malam sampai dalam Domino’s Pizza! Malang sungguh nasib kakanda.

Begitulah lumrah jika ada kuasa memerintah. Apa sahaja sanggup diredah. Lupa dia kuasa itu amanah Allah. Dosa pahala langsung tak ambil kisah. Seolah-olah hidup lama tak ada noktah. Bicaranya ikut sahaja apa yang musuh arah. Umat makin berpecah, ada dia kisah? Islam makin lemah, ada dia gelisah? Kiblatnya adalah nafsu serakah, pemimpinnya pula Iblis laknatullah.

Wahai teman rakan taulan, usah lagi berkhayal memburu angan-angan. Bukan masanya asyik duduk bersenang-senangan. Musuh bekerja tanpa sempadan. Tak putus asa memastikan Islam tak berada di hadapan.

Yang utama sekarang ialah tindakan. Tugas kita kena teruskan. Turun ke medan, berpencak di lapangan. Kemuncup di tengah jalan, abaikan. Jangan berhenti ikut dan, nanti jadi tak ketahuan.  

Dah sampai nanti baru cabut mana yang dan. Elakkan bercakaran. Jangan nampak kita ini koman. Kena pakat ligan, Islam mesti duk depan.

Ingat, kita nak cari redha Tuhan. Sampai masanya mesti dapat kemenangan. Lambat atau cepat, usah persoalkan. Ini bukan janji manusia, tapi janji Tuhan!

Sekian.

AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDEN
Jumaat, 21 Rabiul Akhir 1440H | 28 Dis 2018 – HARAKAHDAILY 28/12/2018

 

- Advertisement -