T-Mart perluas francais ke ibu negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pasar mini T-Mart yang dikendalikan oleh Cakna Marketing Sdn. Bhd. syarikat milik penuh kerajaan Negeri Terengganu mahu memperluaskan jaringan perniagaan francaisnya ke ibu negara dengan tumpuan kini di Kuala Lumpur.

- Advertisement -

Ketua Pegawai Eksekutifnya, A. Razak Sulaiman berkata, pasar mini T-Mart yang berpangkalan di Terengganu sebelum ini telah membuka sebuah cawangan pertama di Kuala Lumpur yang terletak di Jalan Raja Alang, Kampung Baru di sini pada bulan Mei tahun 2016.

“Hari ini kami berhasrat mahu membuka cawangan pasar mini T-Mart yang kedua yang terletak juga tidak jauh daripada cawangan pertamanya di Kampung Baru iaitu di Myharakah Bazaar yang terletak hanya beberapa kilometer sahaja daripada lokasi cawangan pertamanya.

“Satu idea yang baik apabila Cakna Marketing mengadakan persetujuan kerjasama dua hala dengan Myharakah Bazaar yakni sebuah lagi lokasi tumpuan dan strategik untuk memperagakan dan memperkenalkan lagi produk-produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dari Terengganu.

Beliau berkata, lebih 20 produk dari pelbagai jenis IKS Terengganu boleh didapati di pasar mini T-Mart antaranya makanan kering, sejuk beku dan sebagainya.

“Lebih menarik kami menawarkan keropok losong buatan original dari Terengganu yang boleh dinikmati secara asli yang mana penggemar bukan hanya boleh beli secara borong di sini tetapi juga boleh menikmati terus keropok losong segar yang digoreng di sini.

“Selain itu, kita ada nasi dagang ‘frozen’ (sejuk beku) dikeluarkan juga dari anak syarikat kerajaan Terengganu syarikat T-Kitchen, menu baru dari T-Kitchen nasi goreng ikan, nasi minyak serta nasi hujan panas,” ujarnya yang ditemui Harakah di Myharakah Bazaar baru-baru ini.

Katanya, pihaknya amat berterima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Negeri Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman yang amat positif dan menyambut baik idea ini membantu pengusaha IKS dari Terengganu dengan mengembangkannya di kawasan tumpuan pelancongan yakni ibu negara.

“Tujuan utamanya ialah kerajaan negeri Terengganu berusaha dan menggalakkan selain membantu usahawan-usahawan IKS dari Terengganu untuk memperluaskan skop pasaran, tidak hanya pasarkan keropok lekor ini di Terengganu sahaja.

“Kami akan adakan ‘soft launch’ pasar mini T-Mart pada 28 Disember jam 3 petang di Myharakah Bazaar yang mana Yang Berhormat Mohd Nurkhuzaini dijemput sebagai tetamu khas kita untuk merasmikan pembukaan pasar mini T-Mart ini,” tambahnya.

Kata Razak lagi, T-Mart yang akan beroperasi di Myharakah Bazaar merupakan pusat pengumpulan dan pengedaran produk IKS Terengganu.

Sementara itu, CEO Harakah Prof Zainal Abidin Kidam berkata pihaknya teruja dan menyambut baik usahasama ini selari dengan hasrat Myharakah Bazaar yang mahu menjadikan Myharakah Bazaar bukan sekadar boleh mendapatkan buku-buku ilmiah malahan juga pengguna boleh membeli belah secara atas talian (online) produk-produk asli makanan sejuk beku dan kering.

“Kita harap satu masa nanti Myharakah Bazaar dikenali sebagai satu jenama terkemuka pusat membeli belah atas talian (online) yang menjual pelbagai produk Islam yang suci, bersih dan halal,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/12/2018

- Advertisement -