Himpunan tolak ICERD, ianya bukan suatu berita

ADA yang kata hanya 55 ribu, ada yang dakwa lebih 500 ribu, ada yang letak 1.5 juta dan ada yang menjangkakan sejuta peserta hadir ke Himpunan Tolak ICERD yang berlangsung di Dataran Merdeka atau apa yang digelar Himpunan 812. Tidak ada suatu mekanisma terbaik bagi mengira kehadiran peserta itu. Limpahan mereka, membingungkan semua pihak kerana bagi yang ingin mendakwa himpunan ini gagal, mereka akan meletakkan jumlah yang sedikit. Manakala bagi yang suka memperbesar-besarkan kehebatan mereka, akan menokok tambah bilangan sehingga tidak masuk akal.

Advertisement

Ketika himpunan berlangsung, tiada laporan berkenaan salah laku peserta. Tiada kedengaran tembakan amaran oleh pihak berkuasa kerana kedegilan peserta, melawan arahan polis. Tidak kelihatan tangkapan dibuat atas apa-apa alasan perlanggaran undang-undang. Tidak terlihat juga kelibat trak FRU yang suatu ketika dahulu, sangat sinonim dengan peserta, sama ada mengejar mereka, mahupun menyemburkan air kimia sebagai acara khas antara pihak berkuasa dengan peserta seperti bermain polis sentri gayanya.

Tiada kenderaan polis diranapkan, tiada anggota pihak berkuasa dikepung atau dicederakan. Tiada kedai yang dimusnahkan, malah penjaja atau pemilik kedai makan yang menjalankan perniagaan mereka, sangat gembira dengan pelanggan yang memenuhi setiap inci ruang perniagaan mereka. Tinggal lagi adakah mereka sempat melayani pelanggan mereka yang berpusu-pusu itu atau tidak. Namun, datang peserta sebagai petualang merosakkan perniagaan mereka, tidak sekali. Malah ada juga terbaca, penyokong PH yang dalam keadaan mencarut dan memaki peserta, turut mahu berniaga pada masa perhimpunan itu. Itulah nilai kepercayaan mereka terhadap himpunan aman ini.

Peserta beratur mengikut garisan yang dibuat oleh pimpinan. Yang datang dari Sogo, beratur dengan sopan. Yang datang dari Masjid Jamek, melangkah gagah. Yang datang dari Masjid Negara, menapak seiring dan yang sudah sedia menunggu di Dataran Merdeka, tetap menunggu walaupun hujan dan panas. Begitu berdisiplin mereka berhimpun, bukan untuk bertumbuk, berkumpul bukan untuk merusuh. Berjalan seiringan, bukan untuk memecah perpaduan. Tujuan mereka satu, untuk menunjukkan kepada sesiapa sahaja bahawa jika agama Islam diperkotak-katikkan, mereka akan bangun, seiya sekata, mempertahankan keagungan agama ini. Entah dari mana datangnya mereka ini, tidak terbilang arahnya.

Sampah dikutip seusai perhimpunan. Lalu lintas dijaga kemas oleh Jabatan Amal. Tanpa kehadiran polis sekalipun untuk mengawal, mereka sudah terlatih, memastikan displin peserta mengikut kehendak pihak berkuasa. Ceramah pimpinan, menaikkan semangat peserta, menyedarkan mereka dari lamunan khayalan keindahan janji-janji palsu musuh Islam dalam menarik umat kepada mereka. Inilah suasana dan keadaan yang sangat biasa yang boleh ditonton oleh semua pihak. Peserta datang tanpa dibayar sama ada tambang, mahupun makan. Entahlah bagi ahli Umno yang mungkin pertama kali mengeluarkan belanja dari poket sendiri. Jangan direka cerita ahli PAS dibekalkan wang tambang atau duit makan mahupun saku. Tiada manusia waras yang akan percaya.

Tiada kedengaran kidung yang menghasut, menghina bangsa dan agama lain. Mereka dilarang mencaci maki kepercayaan lawan. Mereka tidak dibiarkan mencarut marahkan musuh kerana ianya bukan akhlak Islam yang diajarkan oleh Nabi. Tiada potret pimpinan mana-mana gerakan yang dibakar atau dihina dek kerana geram yang menggunung kepada mereka. Kesemua dendam dan amarah, disimpan, hanya pergerakan memberi amaran kepada bukan Islam agar tidak terus menerus menghina Islam. Tiada juga adegan gesel-menggesel berlainan jantina. Dalam kesibukan berhimpun, terlihatlah ribuan manusia melakukan solat berjemaah, kewajipan tiada ditinggalkan. Menambahkan lagi kepercayaan orang ramai. 

Pastinya jika PAS mengepalai perhimpunan, polis, tentera dan anggota keselamatan, tidak dipeningkan oleh gelagat sesetengah peserta yang degil. PAS akan memastikan kesemua pesertanya mengikut landasan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Tidak boleh ini dinafikan. PAS berjaya mendidik ahli-ahli mereka berpegang dengan disiplin yang sangat tinggi. Ia sentiasa menyusahkan lawan PAS kerana penanda aras disiplin yang tinggi ini. Pasti akan ada suara berbunyi, kalau PAS, pasti tidak kecoh. Kalau PAS mesti bersih. Kalau PAS, mesti Jabatan Amal akan membantu. 

Bagi sesetengah pihak, berita ini kelihatannya seperti satu berita yang mengagumkan. Mereka yang tidak biasa dengan disiplin PAS, akan merasakan kehebatannya, mengujakan. Tetapi bagi PAS, ianya bukanlah satu berita yang menghairankan. Biasa-biasa sahaja kerana semua disiplin ini telah diterapkan ahli PAS dalam setiap himpunan tajaan mereka. Ianya sudah menjadi satu tabiat, bukan hal yang baharu dibuat-buat. Rakyat dan pihak berkuasa tidak ragu jika PAS menjanjikan perhimpunan aman, kerana pastinya keamanan yang akan diberikan jika tiada provokasi. Disiplin ini datangnya dari Islam. PAS tidak ada kelebihan melainkan jika terus menerus berpaut pada dahan Islam. Taniah kepada semua peserta atas solidariti bagi menjadi benteng mempertahankan hak dan keistimewaan Melayu dan Islam.

MOHD NASIR ABDULLAH
9 Disember 2018 – HARAKAHDAILY 9/12/2018