Pusat masih belum bayar guna wang negeri

- Advertisement -

PADA sidang kelmarin dahulu saya telah mengambil peluang di atas soalan tambahan saya berkenaan jumlah pendahuluan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada negeri-negeri untuk membangkitkan isu pembiayaan Projek Lebuhraya Pantai Timur 2 yang menelan belanja lebih RM5 bilion. Seperti masih tertera pada satu artikel di Laman Sesawang Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu pada tahun 2015, Pengerusi Jawatan Kuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri ketika itu Ir Rosli Othman menyifatkan projek LPT2 ini unik kerana ia satu satunya lebuh raya milik Persekutuan di Malaysia yang 1/3 dari pembiayaannya oleh Kerajaan Terengganu.

- Advertisement -

Ia melibatkan sejumlah RM1.85 bilion wang dana khas milik Terengganu yang sehingga kini sebanyak RM1.45 bilion belum dipulangkan.

Sebahagian pernah dibayar sebanyak RM118 juta dalam bentuk naik taraf jalan Awana Kijal, Kemaman. Isunya jalan itu pun adalah milik Persekutuan yang memang sudah menjadi tanggungjawab Persekutuan.

Sebanyak RM300 juta dijanjikan untuk Rumah Mampu Milik yang sebanyak RM100 juta telah dibelanjakan berbaki RM200 juta yang perlukan komitmen Persekutuan agar diteruskan.

Itu pun saya akan mendapat kepastian agar ia bukanlah peruntukan yang sama untuk perumahan rakyat yang sememangnya diperuntukkan kepada setiap negeri-negeri kerana ia sepatutnya sebahagian skim pembayaran semula wang dana khas milik Terengganu yang dibelanjakan untuk LPT2.

Tiada negeri lain tolong bayarkan untuk pembinaan lebuh raya milik Persekutuan seperti di Terengganu dalam projek LPT2 dalam jumlah mencapai angka bilion ringgit.

Dalam soalan saya, saya menegaskan pembayaran dalam bentuk projek mestilah untuk senarai projek negeri yang menjadi milik negeri.

Saya meminta kepastian agar Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harap menjelaskan sama ada mereka akan meneruskan amalan terdahulu di Terengganu yang tenyata merugikan Negeri Terengganu dan tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan dengan jelas senarai milik negeri dan senarai milik Persekutuan.

YB Menteri Kewangan tidak bersedia untuk menjawabnya dan meminta saya menulis surat kepadanya dan beliau telah berjanji akan jawab bertulis.

HJ AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu – HARAKAHDAILY 9/12/2018

- Advertisement -