119 terima Sijil Perguruan PASTI

- Advertisement -

TAWAU: Seramai 119 lulusan Institut Perguruan PASTI Malaysia (IPPM) menerima Sijil Perguruan PASTI masing-masing sempena Majlis Konvokesyen Perguruan PASTI Malaysia Kali ke-10 yang berlangsung di Auditorium Perpustakaan Wilayah Tawau.

- Advertisement -

Pada tahun ini, Istiadat Pembukaan Majlis Konvokesyen telah disempurnakan oleh Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Majlis konvokesyen kali ini memperkenalkan tema “Pendidikan di Bawah Bayu” selari dengan pengiktirafan PASTI Malaysia memilih PASTI Negeri Sabah sebagai tuan rumah Konvokesyen Perguruan PASTI Malaysia kali ini.

Daripada 119 lulusan yang menerima sijil perguruan hari ini, seramai 6 orang lulusan telah dianugerahkan Anugerah Puncak Sijil Perguruan PASTI Malaysia di atas kecemerlangan mereka di sepanjang pengajian.

Anugerah itu telah disampaikan pada Majlis Sambutan Hari Guru PASTI Negeri Sabah yang telah diadakan semalam di Dewan Xocolatt Hotel Emas Tawau.

Pada majlis konvokesyen hari ini pula, PASTI Malaysia telah menganugerahkan Anugerah Dekan kepada dua orang graduan cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum iaitu Nur Marlyannah Umar dan Sharifah Rohana Mohamad.

Ketua Pengarah PASTI Malaysia, Ustaz Mohd Azam Abd Samat berkata pihaknya merakamkan penghargaan terima kasih kepada Ustaz Idris di atas kesudian beliau merasmikan majlis konvokesyen pada hari ini walaupun ianya diadakan jauh di Bumi Peladang Tawau, Sabah.

Konvokesyen hari ini dihadiri 500 orang bagi memeriahkan majlis dan meraikan lulusan yang menerima sijil perguruan masing-masing.

Ustaz Idris dalam ucapannya berkata majlis ini merupakan pengiktirafan tinggi terhadap usaha gigih para guru PASTI dalam melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran terbaik untuk meningkatkan lagi profesyen perguruan PASTI.

Beliau mengharapkan guru-guru PASTI akan berbakti mendidik pelajar-pelajar PASTI dengan cemerlang selari dengan keperluan pendidikan semasa yang semakin mencabar. – HARAKAHDAILY 25/11/2018

KV1

KV3

- Advertisement -