UMMAH Johor sepakat pertahan Islam Melayu

- Advertisement -

ASSALAMMUALAIKUM W.B.T,

- Advertisement -

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, dimaklumkan telah berlangsung suatu Sidang Meja Bulat anjuran Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) di peringkat Negeri Johor Darul Takzim pada 16 Rabiul Awal 1440H bersamaan 24hb November 2018, Sabtu, jam 8.30 malam hingga jam 11.00 malam, yang telah mencatat sejarah dengan berjaya mengumpulkan pelbagai pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan-persatuan serta parti-parti politik yang berasaskan Islam dan Melayu di dalam Negeri Johor, bertempat di Dewan Langkasuka 1 dan 2, Hotel Seri Malaysia, Larkin, Johor Bahru.

Hampir 50 orang wakil-wakil dari pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan parti politik telah hadir ke Sidang Meja Bulat tersebut, di samping penyataan komitmen dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan parti politik Islam dan Melayu yang tidak dapat hadir bersama.

Ketika sidang berlangsung, perbincangan secara matang, membina, positif dan dalam nada kesepakatan telah dapat dilaksanakan. Kesepakatan di dalam isu-isu yang berkaitan mempertahankan dan memperkasakan agenda Islam dan Melayu telah dapat dicapai.

Jawatankuasa UMMAH Johor Darul Takzim juga telah berjaya ditubuhkan dengan menggabungkan barisan pimpinan dari kalangan pelbagai pertubuhan.

Melalui Sidang Meja Bulat Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Negeri Johor Darul Takzim, semua wakil bersetuju dengan resolusi-resolusi yang berikut:

●     Perpaduan umat Islam dan Melayu di dalam negara akan memberikan keuntungan kepada seluruh rakyat. Justeru itu, berdasarkan suasana terkini, sudah sampai masanya umat Islam dan Melayu negara ini bersatu di atas asas taqwa dalam mempertahankan kedaulatan Islam, bangsa dan negara.

●     Kemelut yang berlaku berkaitan dengan isu ICERD telah menyedarkan kita bahawa terdapat beberapa konvensyen antarabangsa yang bertentangan dengan Perlembagaan Negara. Terdapat usaha-usaha untuk meratifikasikan konvensyen tersebut tanpa dibahas di Parlimen. Maka, sidang ini menekankan bahawa mana-mana parti yang memerintah negara ini supaya menjunjung Perlembagaan Negara dengan menolak sebarang usaha yang bercanggah dengan Perlembagaan.

●     Walaupun kenyataan palsu yang dibuat oleh Waytha Moorthy terhadap Melayu dan Islam dan penganutnya di Malaysia dibuat sepuluh tahun lalu, ianya tetap suatu kesalahan yang merosakkan sehingga kini. Sidang merasakan tindakan memberi
peluang kedua kepadanya oleh YAB Perdana Menteri tidak boleh diterima:

i.     Beliau perlu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam dan Melayu di negara ini di atas keceluparan beliau.

ii.     Menyatakan secara bertulis kepada pihak-pihak yang beliau telah sebarkan fitnah terhadap negara, bahawa beliau telah melakukan kesalahan memfitnah dan semuanya adalah salah serta bohong dan tidak bertanggungjawab.

iii.     Sidang juga mendesak agar beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Perpaduan dan diambil tindakan sewajarnya.

●     Kenyataan Pejabat Perdana Menteri berhubung dengan ICERD tidak memberi apa-apa merit. Sedangkan Akujanji Manifesto daripada kerajaan tidak ditepati dan penuh penipuan, ini kan pula kenyataan sebegitu yang terlalu umum. Sidang merasakan Parlimenlah yang perlu menyatakan sokongan dan pendirian untuk tidak meratifikasikan ICERD.

●     Sidang bersetuju akan melaksanakan suatu Konvensyen Ummah peringkat Negeri Johor dalam jangka masa yang terdekat.

●     Program-program akan diatur bagi melahirkan ikatan ukhuwah ummah yang cukup kuat dari sudut pemikiran dan tindakan, demi untuk kepentingan umat Islam dan Melayu di negara ini, dengan sebahagian pengkhususan isu setempat di peringkat Negeri Johor. Program-program akan merangkumi pelbagai aspek seperti memperkasakan ummah dari sudut ekonomi, politik, kebajikan, pendidikan dan lain-lain.

Yang menjalankan amanah,

DR MOHD MAZRI YAHYA
Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Johor Darul Takzim – HARAKAHDAILY 25/11/2018

- Advertisement -