ICERD: Saifuddin pula jadi sasaran

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini kembali kecoh apabila ucapan penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2019 oleh Menteri Luar, Dato’ Saifuddin Abdullah berhubung isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) mendapat bantahan daripada ahli parlimen pembangkang serta kerajaan.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff bangkit mempersoalkan Saifuddin berhubung pendirian Kerajaan Pakatan Harapan terhadap ICERD yang ditentang oleh ramai pihak termasuk dalam kalangan pimpinan PH.

“Termasuk PM, Port Dickson dan juga Gombak yang mencadangkan perkara ini ditangguh ataupun dikaji, tapi seolah-olah berbeza pandangan antara menteri dan beberapa pimpinan dalam kerajaan PH.

“Jadi rakyat Malaysia menolak dan mengharapkan kerajaan menarik balik isu ini,” katanya.

Tidak ketinggalan Ahli Parlimen Port Dickson, Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga menggesa Saifuddin untuk menangguhkan rancangan mengenai ICERD.

“Kita harus memperincikan semula dengan mengambil kira kebimbangan sebahagian besar rakyat, selaras dengan apa yang dikata perdana menteri.

“Saya cadangkan kita tidak meneruskan cadangan ini sehingga perkara perinsip ini dimuktamadkan,” katanya.

Turut mencelah ialah Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang berkata, isu ICERD bukan perkara boleh main-main, kerana dapat menimbulkan sentimen besar dalam kalangan rakyat.

“Jangan sampai perkara tersebut menimbulkan pergaduhan kaum dalam masyarakat, ini bukan masanya,” tegas beliau.

Dewan bertambah panas apabila Marzuk Shaary (PAS-Pengkalan Chepa) bangkit mencelah menyuruh kerajaan tolak terus ICERD dan tidak perlu ditangguhkan.

Menyuarakan pandangan yang sama Ahli Parlimen Kota Bharu, Dato’ Takiyuddin Hassan yang berkata, sekiranya kerajaan ingin meratifikasikan ICERD yang tidak melibatkan pindaan perlembagaan.

“Tahukah pihak kerajaan jika sekiranya sesuatu keputusan atau dasar undang-undang yang dibuat bercanggah dengan perlembagaan, hal ini menjadi tidak sah dan boleh dicabar di mahkamah.

“Pada pandangan saya, ICERD bertentangan sebagaimana yang disebut oleh Ahli Berhormat yang lain bertentangan dengan beberapa peruntukan dalam perlembagaan itu sendiri terutama 153,” tambah beliau.

Dalam masa yang sama, Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim berkata, banyak kesan sosial yang berlaku kepada negara-negara yang telah menandatangani ICERD.

“Kesan sosial akibat ICERD telahpun kita tahu dan sebab itu jika ada kesan yang baik, pihak kerajaan harus mendidik rakyat agar faham.

“Kita masih lagi tidak faham akan hal ini tapi terus tergopoh gapah untuk laksanakan dan menandatangani ICERD.

“Hal ini akan memberi kesan sosial yang amat besar dan menjadi kebimbangan rakyat Malaysia,” tegasnya.

Menjawab persoalan yang dibangkitkan, Saifuddin menyatakan bahawa konvensyen berkenaan boleh ditandatangani dengan membuat pengecualian dan tidak akan menjejaskan hak istimewa bumiputera dalam Artikal 153 sekiranya ICERD diratifikasikan.

Walau bagaimanapun, jawapan tersebut tidak dapat diterima orang sesetengah ahli parlimen. – HARAKAHDAILY 21/11/2018

- Advertisement -