“Reformasi institusi apa? Perangai lama!” – MP Jerai

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Reformasi institusi dengan melaksanakan perubahan dan penambahbaikan sistem demokrasi dalam Malaysia Baharu oleh Kerajaan PH, hakikatnya kekal sebagai janji.

- Advertisement -

Menurut Ustaz Sabri Azit (PAS – Jerai), kononnya Ahli Parlimen Pembangkang akan diiktiraf peranannya tanpa diskriminasi dan sekatan memasuki premis kerajaan masih berlaku sepertimana zaman BN sebelumnya.

“Saya selaku Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat di kawasan Jerai masih disekat untuk masuk ke sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. Cuma yang hairannya pihak sekolah memohon sumbangan daripada Ahli Parlimen tetapi saya tidak pula dibenarkan masuk ke sekolah berkenaan.

“Mohon Menteri Pendidikan berikan penjelasan berkenaan polisi larangan yang hanya terhad kepada wakil rakyat Pembangkang,” suaranya dalam perbahasan Dewan Rakyat di Parlimen, di sini semalam.

Beliau juga mempersoal dan meminta penjelasan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berikutan tindakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kerana tidak mengiktiraf wakil rakyat yang sah.

Hal tersebut kemuka Ustaz Sabri, apabila tidak dijemput menyertai Mesyuarat Majlis Tindakan Daerah, sebaliknya tempat beliau digantikan oleh Penyelaras Ahli Parlimen Jerai.

“(Penyelaras itu) tidak pun dipilih oleh rakyat pada PRU14 yang lepas. Reformasi institusi apa yang dimaksudkan sebegini jikalau perangai masih sama dengan yang lama?” pertikainya.

Dalam perbahasan tersebut, beliau juga meminta Menteri Agama menasihati para pegawai lantikan politik agar tahu batas tugas dan peranan mereka agar tidak ‘lebih sudu dari kuah’.

Beliau mengemukakan isu keangkuhan dan gertakan dari Pegawai Khas Exco Agama Kerajaan PH Kedah terhadap 150 Imam, Khatib dan Setiausaha Masjid Daerah Kuala Muda dan Yan.

Bekas guru itu turut meminta Kerajaan PH memperincikan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion untuk syiar Islam sebagaimana yang telah dibentangkan pada Belanjawan 2019 lalu. – HARAKAHDAILY 16/11/2018

- Advertisement -