Kecacatan utama Bajet 2019 Kerajaan PH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2019 telah gagal dan cacat menjadi sebuah belanjawan kemanusiaan sebagaimana signal daripada kritikan oleh blok Pembangkang, mahupun pihak Kerajaan sendiri.

- Advertisement -

Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS – Bachok) menyenaraikan tiga perkara dalam Belanjawan dibentangkan Menteri Kewangan yang melambangkan kegagalan dan kecacatan tersebut.

Pertama katanya, jumlah perbelanjaan mengurus mewakili sehingga 99 peratus daripada unjuran kutipan hasil adalah situasi tidak sihat dan amat berisiko kepada keupayaan fiskal.

Keadaan tersebut jelas beliau, boleh terjadi sekiranya berlaku kenaikan kos di luar jangka atau kemungkinan kutipan cukai yang lebih rendah.

Kedua ujarnya, Kerajaan PH menanggung belanjawan besar itu dengan memecah kunci pertahanan terakhir ekonomi negara iaitu Petronas melalui dividen khas sebanyak RM30 bilion.

“Ia bagi saya lebih lemah dan lebih terdesak berbanding tindakan lebih berperlembagaan oleh Kerajaan Negeri Kelantan yang memohon pinjaman pendahuluan daripada Kerajaan Pusat bagi menampung kekurangan dan kelewatan kutipan hasil oleh kerajaan negeri.

“Ini adalah bayaran ‘cash’, agar kita tidaklah begitu memperlekehkan kekurangan sesama kita di dalam Persekutuan Malaysia selama mana ia masih dalam kerangka yang dibenarkan oleh Perlembagaan,” ujarnya dalam perbahasan Dewan Rakyat di Parlimen, di sini kelmarin

Sementara ketiga menurutnya, kerajaan nyata gagal memberi perhatian utama kepada kumpulan yang mesti dan wajar dibantu iaitu daripada golongan petani, pekebun kecil dan nelayan.

Namun ucap beliau, walaupun belanjawan besar itu mengakibatkan tanggungan defisit sehingga 3.4 peratus kepada KDNK, kelebihan sebagai kerajaan mesti digunakan untuk memberi keyakinan kepada rakyat.

Kerana utaranya, rakyat amat berharap janji-janji perubahan dan penambahbaikan dapat dipacu sebagaimana terkandung dalam Manifesto PRU14 lalu.

Tegas beliau juga, bagi menjamin kejayaan belanjawan itu, kerajaan mestilah mempunyai ’political will’ tinggi bagi membudayakan pentadbiran berintegriti dengan menamatkan rasuah dan salah guna kuasa. – HARAKAHDAILY 17/11/2018

- Advertisement -