Perangi dadah, kekal hukuman mati jenayah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mengemukakan satu kertas putih langkah strategik menangani permasalahan dadah yang kekal sebagai musuh utama negara, demikian gesa Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS – Bachok).

- Advertisement -

“Ia merosakkan bangsa, membazirkan wang negara dan menjebakkan negara dalam jenayah yang pelbagai dan tidak berkesudahan. Dengan mengambil segala kelemahan lepas sebagai teladan dan panduan, saya amat berharap kerajaan baharu mengambil satu tindakan drastik dan besar.

“Perangilah dadah dengan jiwa dan raga kita dengan nilai-nilai agama yang tinggi, saya yakin gejala dadah mampu diatasi bahkan dilenyapkan dengan sebaik-baiknya, insya-Allah,” gesanya pada perbahasan Dewan Rakyat di Parlimen, di sini kelmarin.

Beliau juga mendesak kerajaan menarik balik cadangan memansuhkan hukuman mati ke atas sebarang kesalahan jenayah yang disifatkannya langkah terburu-buru tanpa melalui proses perbincangan dan penelitian semua pihak.

Bidasnya, cadangan tersebut dikemukakan tanpa sebab munasabah melainkan tunduk kepada desakan pihak luar yang tidaklah lebih bijaksana daripada segala kepakaran di dalam negara sendiri.

“Hukuman mati adalah hukuman yang wujud dalam seluruh agama samawi sama ada Islam ataupun agama-agama yang datang sebelumnya. Ia adalah hak dan perakuan yang jelas daripada Allah bahawa hukuman mati ke atas individu yang bersalah adalah jalan menuju kesejahteraan hidup bagi umat manusia.

“Justeru, saya mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa khas bagi meneliti hukuman ini dengan penambahbaikan bagi mencapai manfaat kehidupan di dunia dan akhirat,” aju beliau. – HARAKAHDAILY 17/11/2018

- Advertisement -