ICERD: PAS beri amaran keras pada kerajaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS memberi amaran keras kepada Kerajaan Pakatan Harapan bahawa parti itu akan mengerahkan jutaan rakyat di jalanan bagi membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

- Advertisement -

Pernyataan itu ditegaskan Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2019, petang ini.

“PAS memberi amaran sekeras-kerasnya jangan menyalahgunakan parlimen kerana kemenangan Pakatan Harapan.

“Ketahuilah bahawa mudah bagi PAS untuk mengerahkan berjuta rakyat di jalan raya sekiranya parlimen ini disalahgunakan, menentang ICERD yang tidak adil terhadap Islam dan rakyat bumiputera,” katanya yang juga Presiden PAS dalam nada keras dan mendapat tepukan gemuruh daripada anggota Dewan Rakyat.

Beliau menegaskan pernyataan tersebut dengan mengulanginya sekali lagi amaran tersebut.

Tambah beliau, sepatutnya ICERD dihadapkan ke arah Israel dan Myanmar yang berlaku kejam terhadap rakyat yang berbeza agama dan bangsa di negara tersebut.

“Bukan diterima (ICERD) di Malaysia yang telah wujudnya penerimaan masyarakat majmuk jangan lagi diganggu sehingga melampaui batas.

“Yang ada terkini jangan dilanggar lampu merah yang sedang bernyala, jangan bersikap laksana diberi betis mahukan paha,” tegasnya lagi.

Ulasnya lagi, dalam konteks hubungan antarabangsa yang kini berperang dalam ekonomi yang boleh mencetuskan perang senjata.

Beliau menyeru Kerajaan Malaysia supaya berhati-hati dalam mengadakan hubungan dengan semua pihak bersikap berkecuali sebaliknya menekankan kerajaan mengutamakan hubungan dengan negara-negara Islam yang berkonsep persaudaraan dan seakidah. – HARAKAHDAILY 13/12/2018

- Advertisement -