Bajet 2019 melebihi ‘bajet pilihan raya’ BN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kini kita menyaksikan Bajet 2019 yang julung kali dibentangkan oleh Pakatan Harapan merupakan bajet terbesar dalam sejarah, jauh melebihi ‘bajet pilihan raya’ oleh Barisan Nasional bagi tahun 2018.

- Advertisement -

Demikian kata Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang semasa membahaskan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, petang ini.

Katanya, sejumlah RM314 bilion diperuntukkan untuk kerajaan berbelanja pada tahun hadapan, meningkat 12% berbanding anggaran RM280 bilion bagi tahun 2018.

Tam bahnya, untuk menampung perbelanjaan yang besar ini, kerajaan mengunjurkan kutipan hasil berjumlah RM261 bilion pada tahun 2018, disumbangkan oleh pungutan cukai langsung dan tidak langsung, serta dividen khas Petronas berjumlah RM30 bilion yang akan digunakan untuk melunaskan tunggakan bayaran balik cukai GST dan cukai pendapatan berjumlah RM37 bilion.

Natijahnya, kata beliau kerajaan dijangka akan menanggung defisit mencecah RM52 bilion pada tahun 2019, atau 3.4% kepada KDNK.

Sebenarnya, jelas beliau Allah memberi rezeki dengan kadar yang mencukupi kepada hamba-Nya, kalau diberikan berlebihan boleh menjadi melampau.

Beliau berkata, sejauh mana Bajet 2019 ini mampu memacu pertumbuhan ekonomi, menurunkan kadar inflasi dan mengurangkan kadar pengangguran, masih terlalu samar untuk dinilai kesudahannya.

“Adakah kebijaksanaan boleh diambil kira dengan menambahkan hutang negara, tanpa mengamalkan konsep jimat cermat dan meninggalkan amalan boros serta rasuah, tanpa mengutamakan kepentingan rakyat tetapi kepentingan kroni yang sangat banyak mengambil kesempatan di sebalik pembangunan.

“Sering kali tidak mengikut jumlah yang sebenar di peringkat permulaan, selepasnya pula akan berlaku bajet tambahan kerana sering kali katanya tidak mencukupi di pertengahan jalan,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 13/11/2018

- Advertisement -