Akibat ‘blockade’ 120 Orang Asli hilang kerja

- Advertisement -

GUA MUSANG: Seramai 120 ketua keluarga Orang Asli di pedalaman Gua Musang kehilangan pekerjaan sejak sekumpulan suku kaum Temiar mengadakan sekatan (blockade) laluan.

- Advertisement -

Sebelum ini mereka bekerja dengan syarikat pembalakan dan ladang yang terdapat tidak jauh daripada penempatan Orang Asli.

Pengerusi Badan Perhubungan Persatuan Orang Asli Se-Malaysia Cawangan Kelantan, Ajom Alang berkata, akibat ketiadaan pekerjaan sejak sekatan laluan dibuat sekumpulan Orang Asli penduduk terbabit berdepan masalah kewangan.

Katanya, mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap lagi bagi menyara kehidupan keluarga akibat tindakan segelintir masyarakat Orang Asli yang didalang pihak dari luar.

“Sekatan laluan yang dibuat sejak akhir 2016 banyak menyusahkan penduduk Orang Asli. Syarikat pembalakan dan ladang terpaksa menghentikan pekerja kerana mereka tidak boleh beroperasi.

“Jadi masyarakat Orang Asli terpaksa kembali kepada pekerjaan tradisional bagi menyara kehidupan keluarga.

“Sedangkan sebelum ini mereka boleh bekerja dengan syarikat pembalakan dan ladang yang terdapat tidak jauh daripada penempatan penduduk terbabit,” katanya ketika ditemui di Kuala Betis, semalam.

Pada Isnin lepas Jabatan Perhutanan Kelantan meroboh sekatan laluan pembalakan di Cawas, Kuala Wok dan Kaleg dengan dibantu pasukan keselamatan.

Difahamkan tindakan itu dibuat mengikut Seksyen 32 Akta Perhutanan Negara 1984. Tahun lepas juga diambil tindakan serupa apabila kumpulan yang membuat sekatan enggan membuka laluan.

Aceng Along dari Pos Bihai berkata, sebelum ini masyarakat Orang Asli di pedalaman sukar untuk keluar membeli keperluan harian di Kuala Betis.

“Setiap kali melalui sekatan dibina kumpulan Orang Asli terbabit saya terpaksa merayu meminta dibuka sekatan.

“Kumpulan Orang Asli itu yang didalang Jaringan hanya membenarkan motosikal sahaja melintasi. Kalau kenderaan empat roda mereka tidak benarkan,” ujarnya.

Katanya juga beliau sudah acap kali menasihatkan kumpulan Orang Asli terbabit kerana tindakan mereka menyusahkan orang ramai.

Namun kata beliau mereka sebahagian besar anak-anak muda tidak tahu apa sebenar yang diperjuangkan dan sekadar terpengaruh pihak luar yang mahu menentang kerajaan negeri.

Menurutnya juga penduduk Orang Asli di pedalaman begitu gembira apabila Jabatan Perhutanan meroboh sekatan tersebut minggu lepas. – HARAKAHDAILY 2/9/2018

- Advertisement -