Kerjasama PAS berteras kepentingan Islam

- Advertisement -

GERAK politik PAS berasas secara syarak dan feqah dari sumber Islam yakni al-Quran dan as-Sunnah serta Ijmak Ulamak dan Qiyas. Di sana adanya perkara dasar atau prinsip yang tetap (thawabit). Juga kepelbagaian pendekatan yang boleh berubah (mutaghaiyirat) diadun kebijaksanaan.

- Advertisement -

Hubungan PAS dengan mana-mana pihak adalah bagi memenuhi tujuan penubuhannya itu sendiri. Iaitu ia tertakluk atas kepentingan Islam dan bertanggungjawab terhadap Allah di mana terikat oleh hukum halal haram. Umumnya, menaungi dan memelihara segala hal rakyat dan negara.

Lantaran itu, Siyasah Syariyyah mengizinkan hubungan dengan pihak lain, hatta musuh secara ikatan jelas bersama syarat-syarat yang memihak kepada Islam. Bahkan dibenarkan juga jalinan kerjasama yang bersifat sementara atas pelbagai pertimbangan Maslahah dan Mafsadah syarak.

Adalah diulangi dan ditegaskan, bahawa PAS sentiasa terbuka menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak dan individu pun. Hatta di blok BN dan PH atas kepentingan yang telah jelas PAS nyatakan, dengan mestilah bersama kesediaan untuk memenuhi syarat-syarat digariskan Islam.

Hal tersebut adalah hujah ringkas dalam menjelaskan kerjasama politik PAS bersama Umno ketika ini, yakni bergerak atas kepentingan bersama. Di mana dalam kedudukan politik ketika ini, Umno berada seiring bersama PAS di blok Pembangkang, sedang PH di blok Kerajaan.

Apatah lagi ketika ini wujudnya unsur gugatan dan ancaman terhadap kepentingan Islam dari blok PH yang berada di tampuk kuasa. Maka kerjasama PAS dan Umno adalah kebangkitan untuk menangani segala kepincangan serta tipu daya PH yang boleh merosak masa depan negara.

Kini, lantaran merasa ia persaingan yang meletakkan PH di posisi ketinggalan sempena PRK sedang berlangsung kini, maka ulasan dan rekayasa bersifat tuduhan, manipulasi dan fitnah kembali disegarkan semula blok PH. Ia skala petunjuk budaya politik tidak matang diamalkan PH.

Di sebalik keghairahan Naib Presiden PAN, Dato’ Mahfuz Omar melabel PAS dengan pelbagai gelaran, segala dihamburkan beliau tidak ubah umpama ‘meludah ke langit’. Terbaru beliau dilihat sengaja buat-buat tidak faham mengenai perbezaan ‘Tahaluf’ dengan ‘Taawun’ apabila menggelar PAS ‘Maharaja Lawak’.

Walhal tindakan beliau dan kenyataannya sendiri, termasuk blok diwakilinya iaitu PH, terang nyata begitu banyak kontradik, pemerdayaan dan khianat rakyat. Namun, kami yakin dan percaya Dato’ Mahfuz tidak akan sekali-kali akan melakukan muhasabah dan hisbah secara jujur terhadap PH.

Sebaliknya kini beliau dilihat sebagai ahli politik yang boleh diguna dan diperalatkan PH atas latar belakang bersama PAS pernah dilaluinya. Menjadilah beliau bagai pemain sarkas yang mengikut telunjuk dan lebih menjaga kepentingan tuannya agar dapat memenuhi politik tembolok dan perut.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

IR HAJI KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 2/9/2018

- Advertisement -