Seri Setia tentukan ECRL diterus

- Advertisement -

MUNGKIN ECRL, Laluan Keretapi Pantai Timur bukan isu dan kepentingan penduduk Seri Setia dan Balakong dalam pilihan raya kecil (PRK) pada 8 September ini.

- Advertisement -

Tetapi pembatalan projek gergasi itu adalah isu panas yang menarik semua orang dalam negara kita sekarang.

Ketika ia dirancang kerajaan dulu rakyat tidak dapat bercakap banyak, kerana kerajaan BN yang gila dengan projek mega tidak dapat disekat nafsunya. Seperti kerajaan Mesir purba. Ia mahu bina banyak piramid, tidak kira ia bermanfat kepada rakyat atau tidak, piramid mesti dibina. Demikian juga Maharaja China purba, dia mahu tegak Tembok Besar China, baik ia disenangi atau tidak oleh rakyat, tembok mesti dibina.

Sekalipun rakyat bising atas projek mega, kerana kerajaan megah dengannya, bantahan tidak dipedulikan. Maka rakyat biarkan kegilaan projek mega termasuk ECRL.

Tiba-tiba kerajaan gila itu dihukum rakyat. Pengundi ikut kemahuan Pakatan Harapan menegakkan kerajaan dan masyarakat yang peka kemahuan rakyat. Rakyat sekarang dapat hak menyatakan setuju atau tidak atas tindakan kerajaan.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim tahu segera gantikan Mahathir kerana dia hendak Parlimen dulu, setiap suara rakyat dipeduli. Biar Mahathir jaga kerajaan, dia jaga Parlimen dan kedaulatan rakyat.

Antara yang Kerajaan PH tangani sekarang meneruskan atau tidak ECRL yang dikatakan berat sebelah, lebih menguntungkan pelabur iaitu China, dan terlalu mendera tuan negeri – Malaysia dan rakyatnya.

Najib dan BN dikira kalah dalam rundingan dengan China dalam menentukan harga projek. Mahathir setuju diteruskan kiranya harga boleh dirunding semula. Jika tidak boleh ia dibatalkan sekalipun terpaksa membayar pampasan tinggi. Projek hangus dan dibeban denda besar. Jika diteruskan beban duitnya berganda tetapi kita dapat ECRL yang amat mahal.

Ia jadi isu besar ketika PRK di dua Dun Selangor sekarang. Mahathir umumkan di Beijing, ia dibatalkan dengan denda yang besar dan duit kita habis. Kita tidak dapat apa-apa.

Rakyat sekarang sudah diberi kemerdekaan untuk setuju atau tidak. PH pun mahu rakyat menyatakan sokong atau tidak.

Dengan peluang bersuara yang diberi itu eloklah PRK Seri Setia dan Balakong dijadikan referendum setuju atau tidak ia dibatalkan yang akibatnya kita rugi besar dan tidak dapat apa-apa. Jika diteruskan bebannya berganda tetapi dapat ECRL. Baik batal atau terus kita kerugian besar dan terbeban.

Setakat ini projek sudah berjalan. Beban sudah ditanggung. Bila dibatal semuanya lesap.

Maka PRK ini boleh menentukan ECRL batal atau terus. Siapa suka batal, undi PH. Siapa suka terus, undilah PAS iaitu pembangkang.

Tiga negeri pembangkang terlibat Pahang, Terengganu dan Kelantan mahu diteruskan kerana kita sudah berbelanja. Dari hilang semua, jangan hilang semua.

Bagi PH biar hilang semua asal beban dikurangkan.

Pengundi Balakong dan Seri Setia boleh tentukan ia dibatalkan dan kita tidak dapat apa-apa, jika ia diteruskan kita menanggung beban mungkin seratus tahun. Tapi lepas 100 tahun, jika belum kiamat, kawasan kiri kanan rel keretapi itu tumbuh banyak kota dan bandar, rakyat untung.

Macam Mesir dan China purba. 5,000 tahun dulu rakyat tidak dapat apa-apa dari piramid dan Tembok Besar China, tetapi sekarang penduduk Kaherah dan Beijing beroleh rezeki yang setimpal atas tenaga hamba abdi Firaun dan maharaja gila projek mega zaman purba dulu.

Seri Setia elok sekat PH bermaharaja mega 60 tahun pula. – HARAKAHDAILY 30/8/2018

- Advertisement -