Ekonomi bumiputera masih agenda nasional

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) berpendapat bahawa pelaksanaan terhadap dasar-dasar bumiputera harus dilihat semula dan dijadikan keutamaan.

- Advertisement -

“Agenda ekonomi bumiputera masih lagi merupakan agenda nasional dan perlu dikekalkan demi kelangsungan ekonomi bumiputera selagi mana ianya masih dilihat jauh ketinggalan berbanding dengan etnik lain,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Ahmad Yazid Othman dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.

MAJLIS Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri di atas jaminan beliau yang mengatakan bahawa kerajaan Pakatan Harapan mengiktiraf kedudukan serta hak keistimewaan orang Melayu dan akan terus mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Ini sejajar seperti mana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan di dalam Fasal (1) Perkara 153 yang mengatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong diberi kuasa melindungi tiga bidang yang menjadi keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak iaitu perkhidmatan awam, ekonomi dan pendidikan serta Perkara 152 yang menegaskan bahasa kebangsaan bagi negara ini ialah bahasa Melayu.

MTEM ingin melahirkan perasaan bimbang bahawa terdapat tuduhan yang tidak berasas dan berbau perkauman yang mengatakan bahawa penjawat awam adalah tidak efektif kerana ianya tidak mencerminkan komposisi kaum di Malaysia.

Perkhidmatan yang diberikan oleh penjawat awam adalah satu tugas murni dalam mentadbir negara dan sama sekali tidak akan meminggirkan mana mana etnik-etnik lain di dalam memberikan perkhidmatan awam.

MTEM tidak melihat kaitannya dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada mana-mana warganegara Malaysia dengan menetapkan kuota komposisi kaum di dalam penjawat awam selagi mana penjawat awam mematuhi kod etika perkhidmatan yang telah pun ditetapkan.

Namun begitu, MTEM juga mengakui bahawa terdapat pihak yang mengambil kesempatan terhadap agenda bumiputera ini demi kepentingan peribadi. Ini dapat dilihat di dalam sektor pendidikan bahawa terdapat bumiputera yang keluarganya berpendapatan tinggi telah mendapat biasiswa yang sepatutnya diperuntukkan oleh bumiputera yang ahli keluarganya berpendapatan rendah.

Tindakan tidak bertanggungjawab ini ternyata amat dikesali kerana ianya melambatkan lagi pembangunan ekonomi bumiputera untuk jangka masa panjang.

Malah, tindakan yang dilihat mementingkan diri sendiri ini juga akan merugikan pembangunan ekonomi dan sosial negara kerana bumiputera yang berkelayakan tetapi menetap di luar bandar akan terus terpinggir dan tidak akan mampu untuk mendaki tangga sosial (social mobility) dalam mengubah kehidupan mereka.

Ada juga pihak di dalam sektor perniagaan telah menyalahgunakan keistimewaan yang diberikan dengan menjual permit yang diperuntukkan untuk bumiputera kepada pihak ketiga kerana ingin mendapatkan untung mudah. Tindakan menyalahgunakan keistimewaan ini ternyata akan merugikan peniaga bumiputera lain yang ingin berniaga secara jujur dan mahu membangunkan perniagaan mereka.

Perniagaan secara “ali baba” sebegini amat ditentang oleh MTEM dan selari dengan tuntutannya yang mahukan kegiatan perniagaan secara “ali baba” ini dibanteras seperti mana yang di utarakan oleh MTEM semasa pelancaran buku “Barah Ali Baba di Bumi Merdeka” pada Oktober 2014. Tindakan peniaga sebegini tidak akan menambah nilai (value added) perniagaan Bumiputera dan hasrat Kerajaan untuk melahirkan usahawan bumiputera yang kekal mampan.

MTEM berpendapat bahawa pelaksanaan terhadap dasar-dasar bumiputera harus dilihat semula dan dijadikan keutamaan. Agenda ekonomi bumiputera masih lagi merupakan agenda nasional dan perlu dikekalkan demi kelangsungan ekonomi bumiputera selagi mana ianya masih dilihat jauh ketinggalan berbanding dengan etnik lain.

MTEM ingin mencadangkan bahawa suatu akta baru juga harus disusun serta dirangka untuk memastikan dasar-dasar utama negara tercapai terutamanya perkara perkara yang berkait rapat dengan pembangunan ekonomi bumiputera.

Mereka yang sengaja menggagalkan dasar-dasar utama negara patut dikenakan hukuman yang berat agar menjadi pengajaran kepada yang lain supaya tidak mengambil mudah objektif utama dasar-dasar negara.

Pembangunan ekonomi dan sosial negara akan lebih utuh dan seimbang sekiranya tidak ada pihak yang cuba mengambil kesempatan dan perpaduan kaum akan menjadi lebih harmoni demi semangat Malaysia Baharu.

Baru-baru ini, Tun Daim Zainuddin, Pengerusi Council of Eminent Persons (CEP) telah menyatakan bahawa dasar-dasar untuk membantu bumiputera akan diperkasakan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih saksama. Bagi MTEM, ini menunjukkan bahawa kerajaan baharu kekal komited kepada penambahbaikan agenda bumiputera.

MTEM juga ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka yang akan menghadiri Kongres Masa Depan Bumiputera 2018 yang akan berlangsung pada 1 September. MTEM yakin bahawa konsensus yang positif dan bermakna akan tercapai. – HARAKAHDAILY 30/8/2018

- Advertisement -