Tidak undi PH untuk tolak mudarat lebih besar

- Advertisement -

PENSYARIATAN Islam adalah membawa mesej rahmat kepada seluruh alam. Ia dijustifikasikan dengan membawa maslahah dan menolak mudarat sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Syathibi melalui kitabnya الموافقات sebagai;

- Advertisement -

جلب المصالح ودفع المفاسد

“Membawa maslahah dan menolak mudarat.”

Malah Imam Izzuddin Abdul Salam dalam kitabnya; قواعد الأحكام في مصالح الأنام menyatakan justifikasi berikut terlaksana dengan menghilangkan mudarat kerana dengannya akan mencapai maslahah. Oleh sebab itu, menolak atau menghilangkan mudarat didahulukan daripada membawa maslahah dalam konteks keadaan yang biasa. Ini kerana mudarat adalah perkara yang wajib dijauhi dan dilenyapkan sebagaimana kaedah asas dalam perbincangan displin ilmu al-Qawaid al-Fiqhiyyah iaitu:

الضرر يزال

“Kemudaratan (wajib) dihilangkan”

Kefahaman yang jelas dalam berinteraksi dengan kaedah-kaedah sebegini yang berhubungkait dengan maslahah dan mudarat memerlukan kebijaksanaan serta ijtihad yang tepat. Dr. Majdi al-Hilali dalam kitabnya فقه الأولويات menyebut sekiranya berlaku pertembungan antara dua kemudharatan, maka hendaklah dipilih mudharat yang kecil bagi mengelakkan berlakunya mudharat yang besar. Antara kaedah yang terpakai dalam hal seperti ini ialah:

إذا تعارض مفسدتان روعي أعظمهما ضررا بارتكاب أخفهما

“Apabila bertembung dua kerosakan, maka hendaklah dijaga daripada terjadi mudharat yang lebih besar dengan memilih mudharat yang lebih ringan antara keduanya.”

Dalam konteks PRK Sungai Kandis yang terdekat ini, semua maklum bahawa kerajaan baharu di bawah pimpinan Pakatan Harapan hari ini agak pincang dan membimbangkan rakyat dengan isu-isu yang melanda. Malah turut menjadi kegusaran apabila isu berkaitan soal pemerkasaan institusi agama, institusi raja dan bahasa kebangsaan tidak dijadikan keutamaan tambahan pula dengan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan dalam melunaskan janji-janji manifesto mereka setelah membentuk Kerajaan Persekutuan.

Perhitungan yang perlu difahami apabila PAS tidak meletakkan calon di PRK Sungai Kandis adalah kerana merujuk kepada strategi PAS untuk tidak memberi kemenangan kepada calon daripada Pakatan Harapan. Sementara BN dan PH kedua-duanya tidak dipertikaikan lagi telah membawa banyak kefasadan dalam pentadbiran. Pertembungan sesama mudharat antara calon PH dan BN ini jelas dimaklumi oleh rakyat sama ada kepincangan kerajaan lama yang diterajui oleh BN dan juga kepincangan yang sedang dilakukan oleh kerajaan baharu PH.

Sehubungan itu, berdasarkan kefahaman di atas, pengundi di Dun Sungai Kandis wajib mengambil sikap dan pendirian untuk mencegah kemudharatan yang besar dengan memilih mudharat yang kecil. Hal ini sebagai penegasan yang telah dinyatakan oleh al-Mursyidul Am, Setiausaha Agung dan Ketua Penerangan PAS Pusat. Perlu diingat bahawa setiap undi dalam kiraan sistem demokrasi adalah sangat penting. Maka, pengundi hendaklah keluar untuk mengundi kerana melalui kuasa undian, kemudharatan boleh dicegah. Hal ini juga termasuk dalam kaedah melenyapkan kebatilan serta kezaliman melalui penolakan terhadap si zalim sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

«انصر أخاك ظالمًا أو مظلومًا، فقال رجل: يا رسول الله، أنصره إذا كان مظلومًا، أفرأيت إذا كان ظالمًا كيف أنصره؟ قال: تحجزه أو تمنعه من الظلم فإن ذلك نصره»

Yang bermaksud: “Bantulah saudaramu yang zalim atau yang dizalimi. Bertanya sahabat: Wahai Rasulullah, aku membantu apabila dia dizalimi, maka pada perkiraanmu bagaimana aku mahu membantu si zalim? Sabda Baginda: kamu mencegah atau menghalangnya daripada melakukan kezaliman, maka sesungguhnya demikian itulah kamu menolongnya.” [Riwayat al-Bukhari]

Dengan kuasa yang kini dimiliki oleh PH selaku kerajaan, maka kemudharatan yang sedia ada adalah lebih besar. Ini kerana dalam tempoh yang masih baharu menjadi kerajaan, telah berlaku pelbagai isu yang sangat pincang dan mendukacitakan rakyat. Sehubungan itu, undian yang mampu mengalahkan calon PH adalah satu tindakan mengambil mudharat kecil bagi memberikan signal kepada kerajaan PH dengan mengurangkan suara mereka khususnya di DUN Sungai Kandis termasuk sebagai isyarat bahawa rakyat menolak kepincangan yang berlaku di bawah pentadbiran mereka serta muak dengan sikap mereka yang mungkir janji dalam manifesto yang ditabur sebelum ini.

Dengan demikian, ucapan dan kenyataan pimpinan utama PAS yang menyarankan pengundi di Dun Sungai Kandis untuk mengundi calon BN tidaklah terkeluar daripada prinsip PAS yang memperjuangkan Islam. Hal ini juga berdasarkan pertimbangan kepada situasi PRK Sungai Kandis secara khusus di kala BN kini adalah sebuah parti pembangkang. Justeru, undian kepada calon BN yang dilihat mampu menandingi calon PH di PRK Sungai Kandis adalah bertujuan mengalahkan dan mengurangi kuasa PH dan bukannya kerana bersetuju dengan Umno/BN. Ia adalah wasilah yang dimaafkan pada tujuan yang dibenarkan. Sebagaimana kaedah fiqh ada menyebutkan:

يغتفر في الوسائل ما لا يغتفر في المقاصد

“Suatu yang dimaafkan pada perkara wasilah sementara ia tidak dimaafkan pada maqasid (tujuan-tujuan)”

9. Melalui kaedah ini, keputusan pimpinan PAS yang berpihak kepada calon BN pada PRK Sungai Kandis tidak menjadi ukuran untuk semua PRK/PRU. Situasi khas ini hanya berlaku mengikut keadaan semasa dan keadaan setempat dengan mengambilkira soal imej Islam. Berpihak kepada calon BN ini tidak akan terpakai setelah selesai PRK Sungai Kandis. Inilah yang disebutkan dalam kaedah fiqh:

ما أجاز لعذر بطل لزواله

“Apa yang diizinkan kerana adanya suatu keuzuran, maka keizinan itu hilang setelah keuzurannya juga hilang”

Inilah sandaran utama PAS dalam membuat apa juga keputusan tanpa meletakkan emosi dan strategi semata-mata. Kepimpinan PAS sentiasa merujuk kepada al-Quran, al-Hadis, Ijmak dan Qiyas dalam menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul. Seluruh ahli PAS hendaklah bersatu hati menerima apa sahaja keputusan kepimpinan dan harapan PAS kepada seluruh rakyat agar sama-sama berusaha untuk menjaga kemuliaan Islam, kedaulatan raja-raja, keharmonian antara kaum dan keamanan negara.

“Sejahtera Bersama Islam”

“Membina Negara Sejahtera”

USTAZ MOHD ASRI MAT DAUD
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
20 Zulkaedah 1439 / 2 Ogos 2018 – HARAKAHDAILY 2/8/2018

- Advertisement -