MP PAS kemuka alternatif ganti SST, GST

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Masalah ekonomi di Malaysia melibatkan monopoli, kapitalis, kronisme, rasuah, korupsi, penipuan dan tidak menepati janji adalah barah wajib dibuang dan digantikan dengan model pembangunan yang baru.
 
Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (PAS – Pasir Mas) melahirkan kebimbangan terhadap perkembangan tersebut ketika membahas Titah DiRaja pada Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini semalam.
 
Menurutnya, Indeks Harga Pengguna dilaporkan mencatatkan penurunan bulanan, berbanding tahunan mencatatkan peningkatan 0.8 peratus di mana walaupun kecil dan paling rendah sejak 40 bulan lalu, tapi banyak faktor yang dipengaruhi.
 
“Namun demikian, untuk melihat hakikat sebenar, kita perlu melihat kepada Suku Keempat tahun ini nanti. Rakyat termasuk para peniaga mengeluh kerana kadar 10 peratus yang dicadangkan oleh Kementerian Kewangan agak tinggi.
 
“Perbandingan kedua-dua cukai antara GST 6 peratus dan SST 10 peratus jelas menunjukkan peningkatan harga jika tidak dikawal di pasaran. Dan kita boleh melihat apabila GST dimansuhkan, kita tidak melihat bagaimana harga barangan turun secara mendadak yang sepatutnya berlaku di pasaran.
 
“Dan kita akan menyaksikan bagaimana apabila SST dikuatkuasakan September ini adalah tidak mustahil harga barangan akan meningkat tinggi dengan kelonggaran kawalan yang dilakukan di pihak kerajaan terhadap para peniaga,” kesalinya.
 
Tolak SST dan GST
 
Tegas beliau, PAS komited menolak SST dan mahu menghapuskan GST kerana konsep percukaian adalah instrumen yang dikenakan kepada lebihan harta orang-orang kaya sahaja di dalam Islam.
 
Jelasnya, dengan kaedah itu, cukai dapat memperbaiki kesenjangan pendapatan rakyat yang berlaku hari ini, di mana dalam Manifesto PAS, telah dikemukakan dua cukai kepenggunaan itu dimansuhkan.
 
“Berikan peluang kepada PAS untuk berbincang dengan kerajaan agar kita sama-sama meneliti peluang untuk mengimplementasikan Cukai Atas Simpanan Korporat dan Cukai Atas Pegangan dan Perdagangan Saham yang boleh dikenakan hanya 2.5 peratus sahaja.
 
“Kami yakin menurut kajian telah dilakukan oleh cendekiawan yang ada bersama dengan kami, cukai (dinyatakan) ini boleh menyumbang kira-kira RM 40 sehingga RM 50 billion setahun kepada kantung kerajaan,” aju beliau.
 
Ahmad Fadhli turut mengemukakan Kelantan yang ditadbir PAS sejak 1990 di mana telah menunjukkan prestasi cukup baik dengan menerima markah 99 peratus bagi Prestasi Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti 2016 dan Laporan Ketua Audit Negara 2016.
 
Menurutnya, pertumbuhan ekonomi di Kelantan pada tahun 2016 ialah sebanyak 4.8 peratus mengatasi kadar nasional pada tahun yang sama iaitu 4.2 peratus. – HARAKAHDAILY 25/7/2018

- Advertisement -
- Advertisement -