Selesa dan bebas dua ‘Tuhan’ baharu

- Advertisement -

ZAMAN moden merujuk kepada zaman manusia mengejar kemajuan sains dan teknologi. Mereka berusaha mencari keselesaan dalam kehidupan kerana kehidupan mereka yang susah dan serba kekurangan.

- Advertisement -

Oleh itu, mereka mencipta alat teknologi untuk mendapatkan keselesaan dalam kehidupan. Dalam konteks Malaysia, ia bermula pada zaman 1970 hingga tahun 2010.

Zaman pasca moden merujuk kepada zaman manusia mengejar kebebasan dalam kehidupan. Mungkin mereka sudah ada sedikit keselesaan dalam kehidupan, kini mereka mahukan kebebasan dan ingin melampiaskan segala keinginan mereka. Lebih parah lagi, mereka menganggap keinginan itu adalah hak asasi. Tiada malu dan segan lagi.

Internet telah mengajar mereka erti kebebasan kerana tiada halangan di sini untuk melakukan dan menyuarakan apa sahaja. Malahan, FB, Insta, Tik Tok dan lain-lain merupakan tempat bersesak dan menternak nafsu manusia. Yang penting mereka dapat akses , walaupun yang lain-lain kurang pun tidak mengapa. Dalam konteks Malaysia, pasca moden boleh dikatakan bermula pada tahun 2010.

Kesan

Kalau zaman moden, mereka mementingkan keselesaan dan Hedonisme (keseronokan).

Tetapi, pada zaman pasca moden manusia mementingkan kebebasan, perubahan dan kelainan yang menyebabkan mereka mahu bebas dari ikatan agama dan budaya.

Perbezaan pemikiran 

Kalau pada zaman dahulu, orang mencari tuhan dan membincangkan kewujudan dan kuasa tuhan. Pada zaman moden, orang mencari keselesaan dalam kehidupan. Kewujudan tuhan pun tiada gunanya kalau tidak boleh memberikan keselesaan kepada mereka.

Pada zaman pasca moden, agama dianggap tidak memahami dan tuhan dianggap buta dan tuli kerana membiarkan hidup manusia susah, cacat dan dizalimi.

Penyelesaian

Masalah pasca moden ini berat. Mereka perlu diyakinkan dengan agama dalam bentuk yang logik dan boleh dilihat. Perlu kepada pendekatan baharu dalam menyampaikan mesej agama pada zaman ini. Ilmu tauhid pula perlu dibangunkan lagi untuk mengatasi pemikiran manusia kepada dua tuhan baharu iaitu keselesaan dan kebebasan.

DR MUHAMAD FAISAL 
25 Julai 18 – HARAKAHDAILY 25/7/2018

 

- Advertisement -