Cadangan jadikan Malaysia inklusif untuk semua

- Advertisement -

BERIKUTAN penubuhan Jawatankuasa Penambahbaikan Institusi (JPI) di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri yang baru, pelbagai pihak telah dilaporkan oleh media-media telah mengambil bahagian bagi mengemukakan pelbagai cadangan.

- Advertisement -

Penubuhan JPI sebagaimana dilaporkan pada awal penubuhannya, ia adalah terhad kepada usaha pihak berkuasa bagi memastikan kelangsungan sistem pemecahan kuasa, semak dan imbang berjalan baik melalui penambahbaikan institusi. Namun demikian, apa yang berlaku penyertaan pelbagai pihak telah membuka ruang hinggakan pelbagai cadangan turut dikemukakan.

Mengambil kira kesempatan yang ada, pihak kami turut mengambil peluang mengemukakan cadangan-cadangan bagi manfaat komuniti OKU untuk diberi perhatian sewajarnya oleh pihak kerajaan.

Asas kepada cadangan yang kami kemukakan adalah mengambil kira hal-hal berikut:

(i) Isu-isu yang didepani oleh OKU pelbagai kategori dan tidak terhad kepada katagori OKU yang khusus.

(ii) Meskipun terdapat pelbagai katagori OKU, komuniti ini masih mempunyai isu-isu bersama the common issue yang mesti diberi perhatian oleh pihak kerajaan agar penyelesaian tuntas dapat dicapai.

(iii) Malaysia telah pun mempunyai suatu kerangka perundangan, dasar dan pelan tindakan yang khusus berkaitan OKU.

(iv) Negara turut mempunyai komitmen khusus berkaitan OKU di peringkat antarabangsa dan serantau melalui beberapa instrumen yang bersifat jangka panjang mahupun jangka sederhana.

Berasaskan penegasan fakta sebagaimana di atas, kami mencadangkan:

(i) Perlunya diberi perhatian khusus bagi Majlis Kebangsaan Orang Kurang Upaya (MKOKU) dan Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU) diperkasa bagi memastikan fungsi dan tujuan penggubalan Akta Orang kurang Upaya 2008 (Akta 685) dicapai. Bagi tujuan ini, pihak kami mempunyai cadangan khusus bagi tujuan pemerkasaan kedua-dua entiti yang dinyatakan.

(ii) Perlunya dilibatkan golongan OKU dan mereka yang benar-benar memahami secara langsung dalam usaha-usaha sebagaimana para pertama di atas. Mereka yang berkelayakan dan berkemampuan mesti ditempatkan pada posisi yang sepatutnya.

(iii) Kesungguhan kuasa politik mestilah diserlahkan dalam memperkasa hak-hak OKU yang dijamin oleh perundangan melalui pemantapan suara-suara komuniti OKU di dewan-dewan perundangan.

Kami amat menyedari betapa Malaysia masih berhadapan dengan suatu cabaran besar bagi menyerlahkan pembangunan OKU yang berasaskan hak dan bukan lagi pendekatan yang hanya diasaskan kepada simpati dan kasihan belas.

Kami menaruh harapan lebih ramai yang akan memahami cabaran dan isu yang didepani oleh komuniti OKU agar Malaysia mampu menjadi sebuah negara yang benar-benar inklusif untuk semua.

Mohammad Faizal Che Yusof
Yang Dipertua Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia
23 Julai 2018/17 Zulqaedah 1439 – HARAKAHDAILY 23/7/2018

- Advertisement -