Serangan Portugis runtuhkan Samudera-Pasai

- Advertisement -

SETELAH lebih suku alaf berjuang mengembangkan Islam di Nusantara, Kerajaan Samudera-Pasai (1267-1521M) akhirnya mengikuti jejak Melaka, runtuh diserang Portugis. Kenapa Samudera-Pasai menjadi sasaran? Peranan Samudera-Pasai dalam mengembangkan dakwah Islam adalah sangat ketara, dan ia menjadi sumber kekuatan politik dan ekonomi kepada kekhalifahan Daulah Othmaniyah yang baru terbentuk pada 1517M. Sejak keruntuhan Constantinople pada 1453M di tangan Sultan Mohamad al-Fateh, Gereja Khatolik telah melancarkan gerakan menghancurkan Islam dari Andalusia (Sepanyol dan Portugis) sehingga mereka dapat meranapkan Granada pada 1492M. Kemudian gerakan pelayar mereka telah sampai ke Hijaz dari Tanjung Harapan pada awal abad ke-15M. Menyedari bahaya ini, Sultan Salim dari Daulah Othmaniyah telah menghalau mereka dari Hijaz dan mengambil alih kekhalifahan daripada Daulah Abbasiyah pada 1517M.

- Advertisement -

Terhalau dari Hijaz, orang Portugis yang juga menduduki Aden dan Hormuz, telah bergerak ke Indai dan menguasai sepenuhnya Goa pada 1510, dan menghantar orientalisnya, Tome Pires untuk mengkaji Melaka dan Samudera-Pasai. Melaka adalah pusat politik dan ekonomi Islam di Nusantara, sedangkan Samudera-Pasai adalah pusat gerakan dakwah. Portugis mengambil strategi dengan meruntuhkan empayar politik Islam di Melaka pada 1511M, kemudian mereka menghancuran pula pusat dakwah di Samudera-Pasai pada 1521M, sebelum ke Sunda Kelapa pada 1522M kemudiannya. Mengambil kesempatan di atas pergolakan dalam Istana Samudera-Pasai, mereka menyerang dan menghapuskan Samudera-Pasai dari peta politik umat Islam. Langkah ini sangat penting bagi Portugis untuk menyekat perkembangan Islam dan menguasai sumber ekonomi berasaskan perdagangan rempah ratus, yang sekali gus bermaksud melemahkan kekuatan Daulah Othmaniyah.

Konflik dan perang saudara melemahkan Samudera-Pasai

Kerajaan Samudera-Pasai selepas zaman Sultanah Nahrasyiyah (1406-1428M) telah mulai melemah, antaranya disebabkan oleh perang saudara, perebutan takhta dan krisis-krisis dalaman istana. Selepas diserang oleh Majapahit (1345-1350M), Siam (1351M) dan Nakur (1405-1406M), Sultanah Nahrasyiyah berjaya membangunkan semula kerajaan ini, tetapi pada hujung kerajaannya berlaku perang saudara antara Raja Mustafa dan Raja Bakoy, yang membawa kepada kelemahan berpanjangan dalam Kerajaan Samudera-Pasai. Anak-anak Sultan Zainal Abidin II (1428-1438M) tidak memiliki kecekapan mentadbir dan tidak dapat bersaing dengan Kerajaan Melaka yang wujud serentak pada abad ke-15M. Beberapa orang Sultan hanya memerintah dalam tempoh masa yang pendek seperti Sultan Abu Zaid Ahmad III (1464-1466M), Sultan Muiz ad-Dunya wa ad-Diin Ahmad IV (1466M) dan Sultan Mahmud (1466-1468M) kerana disebabkan krisis istana yang berlaku. Sultan Zainal Abidin III (1468-1474M) pula terpaksa melepakan kuasa kepada sepupunya, Sultan Mohamad Shah (1474-1495M) kerana kalah dalam perang saudara walaupun dibantu oleh Melaka. Sejak itu, sultan-sultan yang berkuasa tidak lagi berwibawa dan memerintah dalam jangka waktu yang pendek seperti Sultan al-Kamil (1495M), Sultan Mohamad III (1506-1507M) dan Sultan Abdullah (1507-1508M).

Kelemahan dalaman Kerajaan Samudera-Pasai ini, walaupun tidak menjejaskan gerakan dakwah, tetapi kerajaannya terancam teruk apabila berlaku kebangkitan Kerajaan Aceh yang berpusat di Lamuri pada 1497M yang dipimpin oleh Sultan Ali Mughayat Shah, sedangkan dalam masa yang sama juga, Portugis telah menguasai Goa di India pada akhir 1510M. Kedudukan Pasai yang turut dilaporkan oleh Tome Pires bersama dengan Melaka, terutama berkait perkembangan Islam, telah menyebabkan Portugis menjadikan Samudera-Pasai sebagai sasaran kedua selepas Melaka. Faktor kelemahan Kerajaan Samudera-Pasai akibat perebutan takhta pula dimanfaatkan oleh Portugis untuk memudahkan mereka menguasai Kerajaan Islam itu. Pengalaman Portugis berperang dengan tentera Islam sejak 1497M di Goa dan menghadapi Daulah Othmaniyah di Hijaz (1514-1517M) telah mengajar mereka bahawa kesempatan kelemahan politik adalah cara terbaik untuk mengalahkan segera Islam. Seperti juga perang di Goa pada 1510M, perang di Melaka pada 1511M menyaksikan peranan besar para ulamak dalam mempertahankan Kerajaan Islam, maka ia menjadi ancaman kepada Portugis jika mereka tidak memanfaatkan krisis-krisis ini.

Serangan Portugis untuk agenda 3G

Gerakan Portugis ini asalnya adalah dari penyatuan Castilian dan Aragon oleh Gereja Khatolik di Sepanyol pada 1469M, yang telah membolehkan Kristian Katholik menguasai Granada pada 1492M. Sebaik sahaja Christopher Columbus mendarat di Benua Latin (Amerika) pada 1492M, Paus Alexander IV telah menyusun Perjanjian Tordesilas pada 1494M untuk memberi hak kepada Portugis menguasai Wilayah Timur, sedangkan Sepanyol diarahkan bergerak ke Barat. Tujuannya adalah untuk mencapai agenda Kristian, 3G – Gospel, Glory and Gold – yang dalam kata lain adalah untuk menghancurkan Islam. Dengan memanfaatkan Sekolah Pelayaran Putera Hendry The Navigator yang dibuka pada 1488M di Lisbon, Portugis telah berjaya tiba di Tanjung Harapan pada 1488M juga, kemudian Aden, Hijaz, Hormuz dan Goa menjelang 1497M. Kerana gagal menguasai Hijaz, mereka menyerang Goa pada Disember 1510M, kemudian menguasai Melaka pada 1511M. Kejayaan meruntuhkan Melaka telah membuka pula rancangan Portugis untuk menguasai sepenuhnya Selat Melaka dan Selat Sunda.

Selat Sunda yang dikuasai oleh Kerajaan Hindu Padjajaran adalah lebih mudah dikuasai kerana mereka dapat menduduki Sunda Kelapa pada 1522M tanpa halangan. Tetapi untuk menguasai pintu masuk Selat Melaka, mereka perlu berhadapan dengan Samudera-Pasai, yang telah kehilangan kekuatan apabila Empayar Melaka runtuh. Dalam konteks Samudera-Pasai, agenda 3G sangat ketara kerana kerajaan ini adalah pusat dakwah Islam. Dengan menghancurkan Samudera-Pasai, mereka boleh menghentikan dakwah Islam, kemudian memajukan gerakan Kristian Khatolik yang sedang dibangunkan di Melaka dan Macau. Dari sudut ekonomi, penguasaan ke atas Samudera-Pasai akan membolehkan mereka menguasai sepenuhnya Selat Melaka dan perdagangan rempahnya. Ia juga merupakan kejayaan dalam menguasai politik Nusantara dan meruntuhkan kuasa politik Islam seperti mana berlaku di Andalusia. Penguasaan ke atas Samudera-Pasai mempunyai kepentingan sama seperti penguasaan ke atas Melaka bagi Portugis.

Runtuhnya Samudera-Pasai

Pada period terakhir Kerajaan Samudera-Pasai, iaitu zaman Sultan Zainal Abidin IV (1514-1517M), menurut William Marsden, bahawa takhta Sultan Zainal Abidin IV telah dirampas oleh Sultan Aru, iaitu ayahanda saudara baginda di sebelah bondanya. Sultan Aru kemudian dibunuh oleh orang Pasai, lalu dinobatkan seorang Raja yang baru. Raja baru ini dibunuh pula oleh Sultan Zainal Abidin IV. Raja baru yang bernama Pengeran Orfacam (menurut sumber Portugis) ini mendapat dukungan Portugis yang berpusat di Melaka. Bertindak di atas kesempatan dari kematian Pengeran Orfacam ini, Portugis telah menyerang Samudera-Pasai pada 1521M. Namun begitu, menurut inskripsi batu nisan, Sultan Zainal Abidin IV dikatakan wafat pada 923H (1517M). Mungkin semua krisis ini berlaku selepas kewafatan baginda, yang membawa kepada perebutan takhta. Semua catatan Aceh menyatakan Sultan Zainal Abidin IV adalah Sultan terakhir Samudera-Pasai, sedangkan tempoh empat tahun sesudah kewafatannya dipenuhi oleh konflik dan perebutan kuasa antara keluarga Sultan Zainal Abidin IV dan keluarga bondanya dari Istana Aru.

Serangan Portugis yang dilancarkan pada 1521M ini dengan mudah sahaja dapat menguasai Samudera-Pasai sekali gus menghancurkan pusat dakwah Islam yang berusia 254 tahun ini. Portugis kemudiannya meluaskan pengaruhnya ke Pedie dan Aru bagi menguasai Selat Melaka, sehingga Sultan Ali Mughayat Shah (m. 1530M), pengasas Kerajaan Aceh Darussalam bangkit membebaskan ketiga-tiga wilayah tersebut pada 1524M. Ternyata, di sebalik sumbangan besar Kerajaan Samudera-Pasai dalam menegakkan Syariat Allah melalui sistem pemerintahan Islam dan juga mempelopori gerakan dakwah di Nusantara, kelemahan dalaman dek perebutan kuasa telah mengakibatkan Samudera-Pasai terpaksa menutup sejarahnya. Portugis sebagai musuh Islam pula, telah mengambil kesempatan dari kelemahan ini untuk menjarah bumi umat Islam, sekali gus menyebarkan agama Kristian dan menguasai perdagangan rempah. Hanya taqdir Allah yang menyelamatkan Samudera-Pasai, kerana ketika itu, di Lamuri bangkit Kerajaan Aceh Darussalam yang berjaya menghalau Portugis tiga tahun kemudian.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
22 Syawal 1439 / 6 Julai 2018 – HARAKAHDAILY 8/7/2018

- Advertisement -