Ustaz Ahmad berupaya tingkat pengaruh PAS

- Advertisement -

KOTA  BHARU: Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob dianggap berupaya menerus legasi ditinggalkan arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila berjaya meningkatkan lagi pengaruh PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14.

- Advertisement -

Pada PRU tersebut PAS menambah kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) kepada 37 berbanding 32 pada PRU 13.

Pengerusi Assabiqun Pasir Puteh, Drs Zainuddin Awang Hamat berkata, ujian itu berjaya dilepasi selepas pelbagai pihak mendakwa PAS kecundang tanpa Tok Guru.

Katanya, berdasar kepada kejayaan PRU 14 jelas menggambarkan pengaruh PAS semakin meningkat di bawah kepemimpinan Ustaz Ahmad.

“Jadi dakwaan pihak tertentu sebelum ini PAS tidak mampu mempertahankan Kelantan tanpa Tok Guru ternyata meleset sama sekali.

“Sebelum ini mereka cuba memberi gambaran tersebut sehingga dimomok kajian tertentu bagi menggambarkan tohmahan mereka kononnya berasas,” katanya di sini.

Sebelum itu beliau sebagai mewakili Assabiqun Pasir Puteh mengunjungi hormat Menteri Besar di Kota Darulnaim bagi mengucap tahniah di atas kejayaan PAS pada PRU lepas.

Beliau yang juga bekas Adun Limbongan berkata, Ustaz Ahmad berjaya meneruskan legasi arwah Tok Guru dengan meningkatkan pengaruh PAS.

“Di Pasir Puteh PAS berjaya merampas dua Dun daripada BN di samping mengekalkan dua lagi Dun serta kerusi parlimen,” katanya.

Menurutnya juga pergiliran jawatan Exco kerajaan negeri menggambarkan sebahagian daripada prinsip kejujuran dalam siasah PAS di Kelantan. – HARAKAHDAILY 10/6/2018

- Advertisement -