PRU14: Wasilah perkasa kuasa Mahkamah Syariah

- Advertisement -

FIRMAN Allah SWT:

- Advertisement -

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ ۗ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُبِينًا

“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara, lalu mereka mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata.” [Al-Ahzab: 36]

Selaku umat Islam, kita tiada pilihan lagi melainkan taat melaksanakan segala perintah Allah dan Rasul-Nya. Dalam aspek PRU, maka undi yang diberikan mestilah untuk memastikan pelaksanaan syariat Allah SWT menerusi kuasa eksekutif iaitu pemerintahan. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Prof. Dr. Syeikh Yusuf al-Qaradhawi di dalam kitabnya جريمة الردة وعقوبتها bahawa kewajipan dalam pemerintahan itu terbahagi kepada dua iaitu tanggungjawab individu dan tanggungjawab pemerintah.

Kita mesti serius dalam menyokong ke arah pemerintahan untuk menegakkan perundangan Islam. Di sinilah, wajibnya kita memilih parti yang komited untuk melaksanakan syariat Allah SWT. Ini kerana memiliki kuasa yang menjadi wasilah tertegaknya syariat Islam adalah suatu perkara wajib sepertimana kaedah fiqh:

ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب

“Sesuatu kewajipan yang tidak sempurna melainkan dengannya, maka ia turut menjadi wajib”.

PAS adalah jemaah Islam yang menyertai medan politik bermatlamatkan penegakan syariat Allah SWT di negara ini. Ia dapat dilihat kepada dasarnya yang jelas termaktub dalam perlembagaan parti iaitu berasaskan al-Quran dan al-Sunnah. Begitu juga pada pelaksanaannya sepertimana yang dilakukan oleh kerajaan PAS Kelantan dalam menyediakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) pindaan 2015 Negeri Kelantan.

Kesungguhan ini lebih terserlah pada 2016 menerusi Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang apabila membawa usul persendirian mengenai RUU 355 bagi membolehkan bidang kuasa Mahkamah Syariah diperluaskan. Usaha ini merupakan langkah serius yang dilakukan oleh PAS secara berperingkat. Kaedah fiqh ada menyebut:

ما لا يدرك كله لا يترك جله

“Sesuatu yang tidak mampu dilakukan semuanya jangan ditinggalkan semuanya”.

Dalam 20 tawaran manifesto PAS, turut dimasukkan agenda memperkasakan peruntukan Islam dan ini termasuklah dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah selaras dengan kehendak syariat. Dengan itu, betapa pentingnya undi diberikan kepada calon PAS bagi membolehkan undang-undang syariah dapat dikuatkuasakan sepenuhnya selaras dengan tuntutan syariat di negara kita.

USTAZ MOHD ASRI MAT DAUD
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Diterbitkan oleh Jabatan Pilihan Raya Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 3/5/2018

- Advertisement -