Berkhilaf dalam menjatuhkan Najib (Bah. 2)

Datuk Seri Najib Tun Razak
- Advertisement -

Sambungan…

- Advertisement -

Menjatuhkan DS Najib versi PH 

PH adalah gabungan 4 buah parti Bersatu, PKR, DAP dan PAN. Mereka sepakat untuk menjatuhkan DS Najib.

●     Serang DS Najib dan Umno habis-habisan

PH menggunakan teknik menyerang DS Najib habis-habisan. Sesiapa saja yang memusuhi DS Najib adalah rakan mereka. Jadi bila Tun Mahathir mula menyerang DS Najib di luar gelanggang Umno, PH sanggup menerima Tun Mahathir sebagai salah seorang pimpinan utama mereka. Bahkan sanggup menerima parti baru Tun Mahathir sebagai komponen terbaru PH.

Bila Sarawak Report (SR) menyerang DS Najib secara bebas daripada luar negara, SR dianggap sebagai rakan strategik PH. Bila PH hendak menyerang PAS pula, SR turut memainkan peranan memfitnah PAS.

PH sanggup menggunakan apa jua cara untuk menjatuhkan DS Najib, termasuk menerima campur tangan asing bagi membicarakan kes 1MDB DS Najib. Sesuatu yang tidak dipersetujui PAS. PAS mahu DS Najib disiasat dan dibicarakan berdasarkan Undang-undang Malaysia. Campur tangan asing sangat tidak sihat untuk masa depan Malaysia.

●     PH turut konsisten menyerang PAS

Jadi selain menyerang Umno dan BN, PH juga berterusan menyerang PAS. Tujuannya untuk mewujudkan satu pakatan pembangkang sahaja seperti PR.

PAS dilihat sebagai “Kacau daun”. PAS terlalu konsisten dengan dasar mendaulatkan Syariah dan memperkasakan perundangan Syariah. Sesuatu yang tidak disenangi oleh DAP, BAR Council, golongan berfahaman Islam Liberal, pendukung LGBT dan golongan Evangelist yang mendukung PH.

Lantas PAS dituduh hendak bergabung dengan Umno, menerima duit Umno, tidak mahu menang pilihan raya, bersekongkol dengan penzalim dan perasuah, hanya tahu berkecuali di Parlimen. Undi PAS bererti undi BN, kata PH.

Serangan PH lagi, PAS sudah sesat setelah ketiadaan al-Marhum TG Nik Abdul Aziz. DSTG Haji Abdul Hadi pun sesat. Pemakan dedak. Kerajaan Kelantan mundur. Rakyat Kelantan pun terpaksa berhijrah ke Selangor dan banyak lagi.

Jadi melawan DS Najib versi PH ialah menyerang BN dan PAS sekali gus. Dua parti yang mewakili hampir keseluruhan orang Melayu. PH hanya bergantung harap kepada Bersatu dan PAN untuk meraih sedikit sebanyak undi orang Melayu.

●     Adakah mereka bersepakat untuk menjatuhkan Umno?

Pendirian Bersatu kurang jelas di sini. Masih ada nostalgia lama dengan Umno. Masih ada sedikit harapan agar Umno dapat dibaiki. Masih ada kawan-kawan di sana. Kata pepatah “Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain”.

Tun Mahathir jelas berseteru dengan DS Najib. Tetapi tidak jelas dalam berseteru dengan Umno. Dia menghentam DS Najib setiap ketika. Tetapi Tun sentiasa fokus menghentam DS Najib, dan tidak sampai terlajak menghentam Umno secara langsung.

Dia tidak seperti pimpinan PAN yang keluar PAS, lantas menyerang, memaki dan mencerca PAS pagi petang, siang dan malam. PAN memang jelas berputus arang, berkerat rotan dengan PAS. PAN sangat membenci PAS. Setiap yang berkait dengan PAS akan diserang oleh PAN dengan segala gaya bahasa dan kosa kata yang sangat memeritkan telinga.

Tapi Tun Mahathir tidak begitu. Beliau hanya menyerang DS Najib, berhati-hati dalam menyerang Umno. Barangkali jauh di sudut hati Tun Mahathir, dia masih berharap agar Umno masih akan membuka pintu untuk dirinya.

Ketika berhadapan dengan PAS pula, beliau memang konsisten dalam menyerang PAS dan Presiden PAS. Tidak berubah seperti zaman ‘remaja’nya dulu-dulu. Bahkan lebih dahsyat. Sampai mengkafir dan memunafikkan Presiden PAS.

   Siapakah yang mengetuai PH?

PH berhasrat untuk mengganti Pakatan Rakyat yang telah berkubur. Mereka berharap akan mendapat sokongan rakyat seperti pada era PR dahulu. Era PR melawan BN adalah era paling hebat dalam sejarah parti-parti pembangkang dalam menjatuhkan kerajaan BN.

Tetapi PH sentiasa dalam keadaan terlupa bahawa PH bukanlah PR. PR yang diketuai oleh DS Anwar yang sangat lincah dalam menguruskan kepelbagaian matlamat dan perselisihan pandangan parti-parti komponen. Tidak ada lagi kepimpinan DS Anwar dalam PH. Bahkan aura DS Anwar Ibrahim pun, langsung tidak terasa dalam PRU ke-14 ini.

Kepimpinan PH pada hari ini pula mempunyai terlalu banyak ‘kepala’. DS Wan Azizah, Rafizi “Invoke”, DS Azmin dan Abang Mat Sabu. LKS dan LGE pula adalah penentu dasar yang paling berpengaruh dalam PH.

Sebuah barisan kepimpinan yang saling tidak suka menyukai antara satu sama lain. Perselisihan sesama mereka sangat tajam sekali, sekalipun tersimpul senyum di wajah mereka. Ini sudah pun menjadi ‘rahsia umum’.

Akhirnya, mereka memilih untuk berada di bawah kepimpinan Tun Mahathir. Tun Mahathirlah sebagai pengemudi bahtera PH kerana ketiadaan DS Anwar. Tun Mahathir yang telah meng-ISA-kan ramai di kalangan mereka sebelum ini. Tun Mahathir yang dulu mereka kecam sebagai pengamal Kronisme, Nepotisme, Diktator, maha zalim, mamak bendahara yang tua kerepot, tak sedar diri dan bapak pelingkup negara. Alahai, hanya Tun Mahathir yang boleh menyatukan mereka. Ini betul-betul anti-Klimaks.

●     Perbezaan PH dan PR

PR mempunyai kaitan dengan semangat reformasi dan membaiki kerosakan institusi-institusi negara di bawah pentadbiran Tun Mahathir dan BN. PR memperjuangkan hak golongan yang ditindas dan dizalimi. Ikon yang mewakili PR ialah DS Anwar Ibrahim.

PH pula telah menghilangkan semua perkaitan dan semangat itu. Yang ada, hanyalah semangat untuk menjatuhkan DS Najib dan ke Putrajaya. Pengaruh dan aura DS Anwar telah hilang dan lenyap daripada PH, semenjak daripada PH bersetuju untuk mengangkat Tun Mahathir untuk ditabalkan semula sebagai PM, jika PH berjaya ke Putrajaya. Ikon yang mewakili PH ialah Tun Mahathir.

Selain itu, PR juga mempunyai dasar bersetuju untuk tidak bersetuju tentang beberapa isu utama seperti Hudud, pilihan raya Majlis Perbandaran dan lain-lain. Setiap parti komponen PR tidak dihalang untuk memiliki agenda perjuangan mereka sendiri. Tetapi itu tidak akan dianggap sebagai dasar yang disepakati bersama.

PH tidak mempunyai dasar tersebut. DAP sentiasa dapat apa yang dimahukannya. Setiap pemimpin PKR pula bebas membuat agenda masing-masing. Tun Mahathir akan mengisytiharkan apa-apa saja yang dia suka dan semua yang lain terpaksa bersetuju. PAN pula sentiasa bersetuju kalau pihak lain bersetuju.

●     DAP dan PAS

Dalam PR ada PAS. Keberadaan PAS di dalam PR banyak sekali membantu DAP menghilang sentimen ‘ke-Cinaan’nya di kalangan Bangsa Melayu. Orang Melayu melihat DAP boleh bersama agenda Islam PAS. Oleh itu DAP tentulah bukan pelampau Cina.

Imej DAP menjadi baik di kalangan masyarakat Melayu ketika itu. DAP juga dilihat berusaha keras menghormati Bangsa Melayu dan agama Islam sepanjang tempoh bertahaluf dengan PAS. Sehinggakan ada ahli Parlimen mereka yang membaca ayat al-Quran di dalam Parlimen.

Dalam PH tiada PAS. Apa lagi, DAP pun lantang sekali menyerang PAS dan agenda Islam yang dibawa oleh PAS. DAP juga menyerang institusi-institusi agama Islam di bawah kerajaan. Bahkan DAP tergamak memperolok-olokkan amalan-amalan tertentu umat Islam dan agama Islam itu sendiri.

Mentang-mentanglah mereka berjaya menjadi kerajaan di Pulau Pinang selama dua penggal, mereka mula menunjukkan taring. Mereka lupa kepada sokongan orang Melayu dan masyarakat Islam yang berbaik sangka dengan mereka selama dua penggal lepas.

Hasilnya, orang Melayu tidak lagi mempercayai DAP hari ini. Tidak mempercayai DAP bermakna kurang yakin dengan PH. Keadaan ini bukan saja akan dizahirkan dalam PRU ke-14 ini, tapi mungkin akan berterusan untuk 100 tahun yang akan datang.

Harapkan PAN untuk menegur kebiadaban DAP, PAN pula yang disergah oleh DAP agar menunjukkan prestasi mereka dahulu sebelum berani menegur ‘Abang Besar’ mereka.

●     PKR

PKR memang sepakat untuk menjatuhkan DS Najib dan Putrajaya. Tetapi mereka tidak sepakat dalam menentukan pemimpin utama mereka ketika ketiadaan DS Anwar. Yang tersuratnya DS Wan Azizah adalah Presiden PKR. Yang tersiratnya banyak sekali. Yang paling masyhur ialah kem DS Azmin Ali dan kem Rafizi “Invoke”.

Pertelagahan dalaman pimpinan utama PKR suatu ketika dahulu sehingga mencetuskan Langkah Kajang, menjatuhkan TS Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor dengan cara yang amat ‘Gangster‘ dan sampai sanggup mengeruhkan hubungan dengan Istana Selangor.

Pada PRU ke-14 ini, krisis dalaman itu dilihat semakin parah berdasarkan pemilihan calon dan kawasan bertanding yang diisytiharkan oleh PKR.

Jika PH menang dan berjaya ke Putrajaya, rakyat mungkin sekali lagi terpaksa menyaksikan PKR membuat Langkah ‘Kijang’, ‘Rusa’ atau Langkah ‘Bendul’ bagi menghapuskan saingan sesama mereka sendiri.

●     PAN

PAN paling tertib dalam PH. Agenda PAN hanyalah menyokong agenda-agenda PH yang telah diatur oleh komponen lain. PAN hanya suka bekerja untuk PH. PAN tidak suka terlibat dengan politiking dalaman PH.

Kerja yang paling PAN suka ialah mengganyang PAS. Jika ramai pihak yang menghentam PAS, PAN mestilah salah satu daripada pihak itu. Jika hanya ada satu sahaja pihak yang menghentam PAS, maka tentulah pihak itu adalah PAN.

Namun begitu, PAN tidaklah gah seperti DAP, Bersatu atau PKR. PAN hanya sekadar mahu menumpang ke Putrajaya.

●     Adakah PH akan ke Putrajaya?

Agak sukar bagi PH ke Putrajaya tanpa undi Melayu secara solid dan en bloc. Undi bukan Melayu sahaja tidak cukup untuk PH ke Putrajaya.

Masalah dalaman dan politiking dalam PH pula adalah terlalu dalam dan boleh bertukar menjadi kejam pada bila-bila masa. Jika PH menang, rakyat pun akan terheret lemas dalam persengketaan dalaman mereka.

Habis itu, adakah kita mahu BN kembali lagi ke Putrajaya?! Tidak. Tentulah tidak. Biarlah PAS yang ke Putrajaya.

Menjatuhkan DS Najib versi PAS dan Gagasan Sejahtera 

Bersambung…

ZAKARIA ISMAIL
AJK PAS Kawasan Marang
3 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 3/5/2018

- Advertisement -