Afnan sedia wakil suara pemuda ke Parlimen

afnan
- Advertisement -

PERMATANG PAUH: Politik kebendaan yang menjadi panduan parti politik tertentu menyebabkan kepercayaan golongan muda kian terhakis terhadap golongan ahli politik.

- Advertisement -

Namun keyakinan dan kepercayaan itu sedikit terubat apabila PAS memperkenalkan pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

Calon PAS P.044 Permatang Pauh, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden berkata, kelunakan BPMS berjaya menarik anak muda berfikir secara matang dengan politik rasional dan politik hujah.

“Anak muda pada hari ini, dia lebih suka berpolitik berdasarkan fakta dengan apa yang dilihatnya di telefonnya, mereka tidak akan mudah percaya dengan persepsi.

“Seperti yang berlaku pada hari ini, musuh memberi tohmahan kepada PAS mengatakan PAS menerima RM90 juta. Semalam terbukti bahawa dakwaan tersebut hanyalah fitnah yang tidak berasas.

Beliau ditemui Harakah ketika turun berkempen memenuhi undangan jemputan penduduk ke majlis kesyukuran rumah di Jalan Tenggiri 14, Seberang Jaya, di sini semalam.

Katanya lagi, PAS perlu menjadi pilihan anak muda kerana parti Islam itu menumpukan secara serius pembangunan generasi muda dalam pendidikan.

Jelasnya, hasrat PAS adalah ingin memastikan setiap anak muda di negara ini mendapat pendidikan terbaik bagi melahirkan bakat-bakat pemimpin muda pada masa akan datang nanti.

“PAS lengkap dengan segalanya, kita ada pra-sekolah seperti PASTI, kolej dan tidak lama lagi kita akan bangunkan sekolah menengah agama.

“Kita ada kelab motorsikal ARC yang mengikut minat dan citarasa anak muda dalam masa yang sama kita tarbiyah mereka dengan Islam.

Maklumnya, PAS bercadang untuk menubuhkan wakaf pendidikan yang bakal membina generasi muda berakhlak dan berpendidikan.

Jelas beliau, PAS serius hendak wujudkan wakaf pendidikan kerana ingin bantu mahasiswa dari bebanan hutang PTPTN sebagai sebahagian persiapan untuk generasi belia akan datang.

“PAS tampil kemuka penyelesaian untuk anak muda supaya mereka ada masa depan yang cerah dan suara tersebut mesti dihantar ke Dewan Rakyat melalui Parlimen Permatang Pauh mewakili anak muda,” ujarnya dengan penuh yakin.

Afnan merupakan usahawan berjaya di Permatang Pauh memiliki stesen minyak yang terletak di Bukit Mertajam.

Berkelulusan Sarjana Pengurusan Pembangunan Islam Universiti Sains Malaysia dan mempunyai Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (Tafsir) Universiti al-Azhar, Mesir.

Anak kepada Dato’ Taib Azamudden Md Taib iaitu bekas Imam Masjid Negara ini juga mengaku tidak gentar berentap dengan anak Ketua Umum Keadilan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim iaitu Nurul Izzah dan calon BN, Dato’ Zaidi.

Ujarnya, beliau merasa lebih tenang kerana perjuangan yang dibawanya adalah berhasrat menyampaikan amanat parti iaitu mesej Islam ke dalam Dewan Rakyat. -HARAKAHDAILY 2/5/2018

- Advertisement -