PAS mara dengan sejahtera

- Advertisement -

MEMASUKI hari ke-5 kempen PRU14, PAS terus mara dengan janji kesejahteraan untuk rakyat Malaysia. Islam adalah kesejahteraan sebenar. PAS sentiasa membuktikannya sepanjang masa.

- Advertisement -

Hari pertama penamaan calon, ratusan ribu penyokong PAS di seluruh negara bersatu dan berjaya mengisyaratkan sebuah “Budaya Politik Matang Sejahtera” dengan perarakan calon paling berdisiplin. Pihak polis menghambur pujian dengan kerjasama yang diberikan. Pujian tahmid dan takbir membesarkan Allah, selawat dan salam ke atas al-Rasul S.A.W menjadi alunan yang menenangkan dan menenggelamkan kepanasan perarakan dan kesengitannya.

PAS menampilkan calon-calon berwibawa berlatar belakangkan pendidikan dan keprofesionalan yang pelbagai. Golongan ugama tidak lagi terlalu mendominasi, bahkan saling menyempurnakan sebagai gandingan terbaik bagi mencapai impian sebuah Kerajaan Teknokrat yang lebih berkesan bagi mencapai kejayaan dan kesejahteraan untuk negara.

PAS menampilkan Manifesto Malaysia Sejahtera yang menampilkan 9 teras, 20 tawaran utama dan manifesto mengikut 12 kelompok masyarakat yang bersifat penyelesaian yang komprehensif dan sejahtera. Walaupun ia adalah sebuah janji, tetapi kandungan dan isinya adalah gambaran keupayaan dan kesediaan PAS untuk menggalas tanggung jawab besar memerintah negara.

GST akan dihapuskan. Hutang PTPTN akan dimansuhkan dengan pendidikan percuma sebagai berita gembira yang menanti anak bangsa. Rasuah diperangi secara pasti bagi memancung terus politikus yang korup. Harga rumah mampu milik dikurangkan. Ia hatta janji bas sekolah percuma, bantuan makanan asasi buat rakyat termiskin, bantuan kereta pertama, modal RM 2000 buat wanita berkerjaya dari rumah, pembentukan pusat komuniti keluarga dan lain-lain lagi.

Ya, terasnya adalah sebuah kerajaan berintegriti dan amanah. Ia adalah Islam sepenuhnya sebagai rujukan sebuah negara sejahtera dengan rakyatnya yang bahagia. Jurang ekonomi dikurangkan, peluang pekerjaan baru yang menjamin pendapatan yang bertambah. Inflasi dan kos sara hidup diredakan. Sistem sokongan sosial ditambah baik agar rakyat saling bantu-membantu sesama mereka.

Ia berteraskan kualiti pendidikan anak bangsa yang ditingkatkan. Ia juga menyentuh sistem perundangan yang ditambah baik dan diharmonikan. Ia menjanjikan pengharmonian untuk sistem perundangan negara yang sering berkonflik.

Kemuncak yang pasti akan dilaksanakan adalah pengukuhan terhadap konsep Federalisma dan pemerkasaan suara rakyat yang menjamin sistem demokrasi yang lebih cemerlang dan bebas. Inilah teras kepada sebuah Negara Teknokrat yang berjaya.

Manifesto mengikut 12 kelompok utama masyarakat adalah sokongan yang dinantikan. Ia adalah janji terbaik untuk wanita, anak muda, OKU, petani, penternak dan nelayan, peneroka Felda, penjawat awam, pekerja swasta, warga emas dan pesara, orang asal, usahawan, korporat dan juga prihatin alam sekitar. 12 kelompok besar rakyat ini akan dijamin kekuatan mereka demi negara berkebajikan yang membina dan menjemput sokongan awam untuk turut membina negara secara bersama dan bertanggungjawab.

PAS menjanjikannya dengan penuh yakin. 28 tahun mentadbir Negeri Kelantan yang berintegriti tanpa dicoreng rasuah adalah bukti kejayaan yang cermerlang. Adakah untuk mencapai kesejahteraan hidup, ia perlu menanti kekayaan yang melimpah ruah dahulu? Tidak bukan?

Berita gembira diterima daripada perbicaraan kes fitnah RM 90 juta. PAS sedang menghampiri kejayaan di Mahkamah bagi membersihkan diri daripada tuduhan dan fitnah kotor musuh. ‘Rakaman suara Nik Abduh’ yang bohong dan fitnah itu telah dicampak dan dibuang di dalam longkang tepi Mahkamah UK. Jauhnya tempat buang sampah?!

Hari ke 5 kempen PAS bergerak maju dan gagah. PAS berada di landasan yang sihat tanpa kekalutan dan kesalahan.

Kepada semua pejuang kebenaran, ayuh bersatu, bertekad dan berazam, terus mara berjuang bersama PAS dengan penuh ikhlas demi melaksanakan tugas agama bagi membina kesejahteraan dan kebahagiaan untuk seluruh rakyat negara Malaysia tercinta. – HARAKAHDAILY 2/5/2018

- Advertisement -