Gabungan Tun M – Anwar: Kenapa PAS tidak takut?

- Advertisement -

SEMALAM saya membaca kenyataan Anwar Ibrahim bertajuk “Gabungan Mahathir-Anwar: Kenapa Umno takut? Ya! saya bersetuju, Umno memang takut gabungan ini kerana mereka berdua adalah bekas pemimpin utama Umno suatu ketika dahulu yang mengetahui begitu banyak rahsia Umno.

- Advertisement -

PAS bersyukur kerana mereka kini bersama pakatan pembangkang. Kerana adanya mereka berdua di pihak pembangkang, rakyat banyak tahu kezaliman yang Umno buat, termasuk apa yang mereka sendiri buat ketika bersama Umno.

Anwar ditendang keluar dari Umno oleh Mahathir. Dan selepas itu rakyat tahu banyak perkara tentang kezaliman Mahathir. Hingga Anwar berjanji jika beliau jadi PM, beliau akan heret Mahathir ke mahkamah atas pelbagai isu salah guna kuasa, Kronisme dan Nepotisma.

Kita tidak lupa Anwar bongkar bagaimana Mahathir:

●     Melambatkan proses penyiasatan ke atas kroni-kroni BN seperti Eric Chia, Zahara Sulaiman, Khir Toyo, Ling Liong Sik dan lain-lain.

●     Dana-dana awam seperti KWSP, Tabung haji, UEM, BCB, TRI, Dana Harta dan lain-lain digunakan untuk bail out syarikat kroni beliau.

●     Menyalahgunakan Akta-akta draconian seperti ISA, OSA dan Akta Cetak dan Mesin Cetak bagi tujuan kepentingan politik.

●     Menyekat kebebasan badan penguatkuasa seperti Polis, BPR, peguam Negara dan SPR.

●     Mempengaruhi integriti dan kebebasan kehakiman.

●     Menghina dan menyekat Islam seperti pecat Mufti Selangor, tolak Hudud, tarik bantuan sekolah agama rakyat.

●     Menghapuskan hak istimewa Melayu dan Bumiputera serta kuasa Sultan dan YDP Agong melalui pindaan Akta.

Dan ketika Mahathir pula keluar Umno dan bersama pembangkang, sekali lagi kita didedahkan kepada kezaliman dan penyelewengan pemimpin Umno. Kali ini Najib. Dari isu Wanita Pertama yang kuat shopping, Kapal Selam, Altantuya hinggalah kepada Skandal 1MDB.

Inilah sajian mereka kepada rakyat sebaik sahaja mereka berpisah dari Umno-BN. Mereka membuktikan Umno-BN memang penuh korupsi dari satu kepimpinan kepada pimpinan lain. Tukarlah siapa pun, mereka memang koruptor atau bahasa PH, mereka ini kleptokrat.

Hanya PAS satu-satunya parti yang bersih dari sebarang tuduhan rasuah dan penyelewengan. PAS konsisten memerhati dan belajar dari pengalaman bagaimana Anwar khianati PAS dalam Krisis Menteri Besar Selangor dan Langkah kajang.

Anwar cuba memperbodohkan Presiden PAS untuk beliau melakukan kerosakan lebih besar di Selangor. Namun PAS dapat menghidu perancangan beliau untuk menjual Kerajaan Selangor kepada BN sekiranya Azizah yang menjadi Menteri Besar. Dan sebagai balasan Kes Anwar meliwat Saiful Bukhari ditarik balik. PAS terpaksa memilih untuk berbeza pendapat dan mencalonkan Azmin sebagai Menteri Besar walaupun hari ini, Azmin juga khianat pada PAS.

PAS sememangnya tidak terkejut bila Anwar berkata kezaliman yang Mahathir lakukan ke atasnya adalah “luka kecil” walaupun pernah dipukul, dibogelkan, difitnah, dimalukan dan dipenjara oleh Mahathir hingga dianggap setaraf dengan Mandela. Malangnya Mandela sendiri selepas dibebaskan tidak pernah bekerjasama dengan kumpulan Apartheid. Tapi Anwar pula kembali bekerjasama dengan musuhnya, kononnya demi rakyat. Walhal, demi kuasa kerana impian beliau nak jadi Perdana Menteri masih belum tercapai.

PAS sedih kerana Anwar mengkhianati rakyat khususnya kumpulan yang hadir menyokong beliau ketika era kebangkitan Reformasi. Ramai yang ditangkap dan dipenjara oleh Mahathir juga kerana sokong Anwar. Namun Kumpulan Otai Reformasi akhirnya turut menyatakan sokongan kepada Mahathir dan menjadi pengkhianat yang menjilat kembali ludah mereka kepada Mahathir.

Ini menunjukan Anwar dan pengikutnya dalam PKR tidak lebih dari “Political Animal” yang bertindak ikut nafsu dan bukannya akal kerana sanggup menggadai prinsip perjuangan untuk berkuasa.

Jika hari ini mereka boleh maafkan dan sucikan dosa Mahathir begitu sahaja, tidak mustahil jika Najib juga akan mendapat pengampunan yang sama. Sepatutnya PKR memegang prinsip yang tegas untuk terus berjanji bicarakan Mahathir dan Najib secara adil jika mereka menang.

Namun sekarang itu tidak berlaku. Sebab inilah PAS terpaksa menjauhkan diri dari Anwar dan PKR sehinggalah mereka melihat sendiri kerosakan yang mereka lakukan hari ini dengan menamakan Mahathir sebagai calon PM.

PAS tidak takut untuk berhadapan gabungan Anwar-Mahathir kerana sebelum Anwar tubuh PKR, PAS sudah melawan mereka berdua ketika mereka bersama-sama memikul bendera dacing.

Hanya rakyat yang bijak sahaja akan melihat percaturan mereka ini sebagai satu penipuan terbesar dalam politik Malaysia. Dulu ada warna hijau dan merah melawan biru tua. Sekarang tinggal hijau sahaja melawan biru tua (Old BN) dan biru muda (New BN). PAS kekal istiqamah melawan. Allahuakbar.

HERMAN SAMSUDEEN
Mid Valley City
13 April 2018 – HARAKAHDAILY 13/4/2018

- Advertisement -