Manifesto BN PRU14: Kotakan dahulu Janji 2013 

- Advertisement -

SEMUA pihak boleh berjanji. Dan jika dilihat kepada janji Barisan Nasional kali ini, segala macam kenikmatan dunia ditawarkan kepada rakyat jika memilih Barisan Nasional sekali lagi dalam Pilihan Raya Umum ke 14 nanti. Apatah lagi tiada sebarang bayaran dikenakan untuk menabur janji.

- Advertisement -

Apa yang penting ialah rekod pihak yang berjanji, dalam kes ini ialah Barisan Nasional. Setakat manakah janji dan manifesto di dalam Pilihan Raya Umum ke 13 yang lepas berjaya ditunaikan? Apa yang pasti janji untuk menurunkan harga kereta sebanyak 20-30 peratus telah gagal untuk dicapai. Untuk rekod, harga Proton Saga 1.3 SV MT di atas jalan pada tahun 2013 ialah RM33,438.00 (solid). Manakala pada tahun 2017, harga Proton Saga 1.3 Standard MT di atas jalan ialah RM36,800.00. Mana janji untuk menurunkan harga kereta seperti yang ditabur dulu?

Demikian juga janji untuk membina 1 juta rumah mampu milik untuk rakyat Malaysia menjelang 2018. Dua tahun lepas, Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias sendiri menyebut bahawa hanya sebanyak 263,366 unit kediaman berjaya diluluskan oleh Anggota Perbadanan PR1MA dan daripada jumlah itu, sekitar 100,000 sahaja dalam pembinaan.

Justeru, saya kira Barisan Nasional wajib memastikan janji Pilihan Raya Umum yang lepas terlebih dahulu dilaksana. Rakyat sedang melihat dan memerhati. Untuk Pilihan Raya Umum yang akan datang, jangan lagi memilih kerajaan yang hanya pandai menabur manifesto!

AHMAD FADHLI SHAARI
Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 8/4/2018

- Advertisement -