Silap besar PAN (2): Terlalu fokus kuasa, tak iktiraf ulamak

- Advertisement -

KATA Jamzuri Ardani: “Saya adalah salah seorang perwakilan Muktamar PAS di Ipoh pada tahun 2008 yang memeterai resolusi mengukuhkan penyertaan PAS di dalam Pakatan Rakyat. Tidak pernah ada sesiapa yang membentangkan berkenaan enam syarat penyertaan PAS ke dalam PR seperti yang disebut oleh Dr Kamarul semasa Muktamar tersebut.”

- Advertisement -

Kata Jamzuri Ardani lagi: “Semakan saya dengan beberapa AJK PAS Pusat yang memegang jawatan dalam tempoh tersebut juga mendapati ia tidak pernah dibincang, dibentangkan dan diperakui dalam mana-mana mesyuarat JK PAS Pusat dalam tempoh itu.”

Tambah beliau: “Saya harap Dr Kamarul dapat membuktikan saya salah dengan menyebut di dalam mesyuarat JK PAS Pusat mana dan di dalam Muktamar PAS tahun berapa kertas kerja berkenaan enam syarat itu dibentangkan dan diperakui sebagai syarat PAS menyertai Pakatan Rakyat”.

Kata saya pula, inilah satu lagi silap besar pemimpin Parti PAN, iaitu terlalu fokus pada kuasa dan tak iktiraf kedudukan ulama’.

Sebab terlalu fokus pada kuasa inilah maka yang Jamzuri Ardani ingat mengenai Resolusi Muktamar PAS di Ipoh pada tahun 2008 hanyalah mengenai “mengukuhkan penyertaan PAS di dalam Pakatan Rakyat”, tetapi beliau sengaja buat tidak ingat bahawa tiga pecahan awal resolusi itu adalah:

–     Menyokong pendirian PAS yang mahu PAS mempertahankan dasar Islam dalam menjalinkan hubungan kerjasama dengan Pakatan Rakyat.

–     Mendesak kepimpinan PAS berusaha mempastikan kepentingan Islam dapat dipelihara dan dihormati dalam kerjasama politik yang dijalinkan.

–     Mendesak kepimpinan PAS dapat memainkan peranan yang besar dalam menentukan dasar dan hala tuju kepimpinan Pakatan Rakyat.

Walau beliau tahu atau tidak mengenai kewujudan kertas kerja Majlis Syura Ulama’, “Tahaluf Siasi: Garis Panduan Dari Perspektif Islam”, yang menyenaraikan enam perkara yang menjadi syarat kepada penyertaan PAS di dalam Pakatan Rakyat sekalipun, kesemua tiga pecahan awal resolusi ini sudah menjelaskan pendirian PAS di dalam Pakatan Rakyat.

Istilah-istilah “mempertahankan dasar Islam”, “mempastikan kepentingan Islam dapat dipelihara dan dihormati” dan “memainkan peranan yang besar dalam menentukan dasar dan hala tuju kepimpinan Pakatan Rakyat” adalah sama dari segi intipatinya dengan syarat utama kepada penyertaan PAS di dalam Pakatan Rakyat yang digariskan di dalam kertas kerja ini, iaitu “tahaluf (kerjasama) mestilah dijadikan wasilah untuk menegakkan Islam, memperkukuhkan kedudukan umat Islam serta membuka ruang untuk pelaksanaan Islam”.

Sebab tak iktiraf kedudukan ulama’ inilah maka Jamzuri Ardani tak habis-habis duk pertikai mengenai kertas kerja yang dibuat dan diluluskan oleh Majlis Syura Ulama’ ini sedangkan majlis ini diberi kuasa luas oleh Perlembagaan PAS untuk “mengeluarkan arahan dan perintah supaya dasar dan ketetapan itu dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS dan mengawasi serta memelihara supaya dasar dan ketetapan serta kehendak-kehendak dalam Perlembagaan ini dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS”.

Sebab terlalu fokus pada kuasa dan tak iktiraf kedudukan ulama’ inilah maka Parti PAN tidak ada peruntukan yang memartabatkan golongan ulama’ di dalam Perlembagaannya. Sebaliknya, apa yang ada di dalam Perlembagaan Parti PAN hanyalah Majlis Penasihat Pakar yang tak bergigi, yang setakat beri cadangan sahajalah tarafnya. – HARAKAHDAILY 21/3/2018

- Advertisement -