Silap besar PAN (1): Biarkan DAP ‘Dictate’ mereka

- Advertisement -

KATA Jamzuri Ardani, pemimpin Parti PAN lebih mengenali dan memahami pemikiran politik Almarhum Tok Guru Nik Aziz berbanding saya dan pimpinan PAS hari ini.

- Advertisement -

Sebab itulah, kata beliau, pemimpin Parti PAN berupaya “menganjurkan Seminar Pemikiran Tok Guru Nik Aziz dengan menampilkan pengisian yang sangat bersifat ‘insightful‘ terhadap legasi pemikiran politik peninggalan Almarhum” dan “PAS sampai sekarang masih tidak berupaya menandingi keupayaan Parti PAN dalam aspek ini”.

Kata saya pula, mungkin sebab pemimpin Parti PAN lebih mengenali dan memahami pemikiran politik Almarhum Tok Guru Nik Aziz berbanding saya dan pimpinan PAS hari inilah maka mereka tidak menjemput saya dan pimpinan PAS hari ini tetapi menjemput pemimpin DAP, Liew Chin Tong, untuk mensyarahkan kepada mereka mengenainya.

Pelik sungguh pemimpin Parti PAN ini, jika benar mereka lebih mengenali dan memahami pemikiran politik Almarhum Tok Guru Nik Aziz, sepatutnya merekalah yang mensyarahkan kepada pemimpin DAP mengenainya, bukan pemimpin DAP yang mensyarahkan kepada mereka apa yang mereka mahu dari pemikiran politik Almarhum.

Apa yang boleh diharapkan dari kefahaman pemimpin DAP seperti Liew Chin Tong ke atas pemikiran politik Almarhum selain menyatakan kononnya Almarhum mengamalkan “pragmatisme”, “Islam bukan hanya label tetapi idea yang dapat dipraktikkan”, “isu hudud telah banyak membuang masa kita” dan “kita perlu kembali kepada perjuangan asal”.

Inilah silap besar pemimpin Parti PAN, iaitu membiarkan DAP mendictate apa yang mereka mahu dari mereka, bukan mereka yang mendictate apa yang mereka mahu dari DAP, sedangkan sepatutnya, jika mereka benar-benar ikhlas dengan Almarhum, merekalah yang sepatutnya mensyarahkan kepada DAP mengenai pemikiran politik sebenar Almarhum. – HARAKAHDAILY 21/3/2018

- Advertisement -