Perjalanan lebih singkat guna jalan B20

- Advertisement -

JARAK perjalanan ke Kota Warisan dan Bandar Baru Salak Tinggi akan menjadi lebih singkat apabila projek pembinaan laluan alternatif iaitu jalan sambungan B20 (missing link) yang menghubungkan Kota Warisan dan Salak Tinggi, siap sepenuhnya menjelang November 2020 kelak.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Selangor, Zaidy Abdul Talib berkata, pengguna tidak perlu lagi melalui jalan persekutuan FT29 dan FT32 apabila mempunyai pilihan lain.

Katanya, sebagai contoh, pengguna dari Taman Ixora atau Salak Tinggi yang ingin ke Kota Warisan tidak perlu lagi melalui jalan utama, iaitu laluan sedia ada.

“Sebaliknya, mereka boleh melalui jalan B20 (apabila siap nanti) dengan tempoh perjalanan lebih singkat iaitu dari jangkaan masa 15 hingga 20 minit kepada lima hingga 10 minit sahaja.

“Selain itu, jalan ini dapat menghubungkan kawasan Kota Warisan, Taman Ixora, Ixora Hill Park, Taman Dahlia, Taman Seroja serta kemudahan awam seperti Stadium Sepang,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah jalan sambungan B20 daerah Sepang, kelmarin. (Foto selangorKini)

Beliau berkata, ia juga akan memberikan impak sosioekonomi kepada penduduk setempat dan industri sekitar Kota Warisan.

Di samping itu, ujarnya pengangkutan logistik untuk menampung keperluan industri juga menjadi lebih efektif kerana tempoh masa dan jarak perjalanan akan menjadi lebih singkat.

“Di sekitar Kota Warisan juga terdapat lot-lot industri yang belum dan telah dibangunkan. Justeru, dengan adanya kemudahan infrastruktur ini, ia secara tidak langsung dapat membangunkan sektor perindustrian di kawasan sekitar Kota Warisan dan Salak Tinggi,” katanya dipetik SelangorKini

- Advertisement -